PETALING JAYA: Amanah Lestari Alam (Alam), sebuah platform kelestarian nasional yang menyokong agenda biodiversiti dan daya tahan iklim diperkenalkan oleh Kerajaan Madani, terus memperluas penglibatan belia menerusi inisiatif ‘ALAM Be-Leaf’.
Edisi terbaharu inisiatif berkenaan tahun ini dianjurkan di Pulau Redang, Terengganu, di mana pihak Alam bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menarik minat seramai
350 sukarelawan bersempena Program Rakan Bumi – Projek Planet Rakan Muda peringkat Kebangsaan 2026.
Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) berkata, program tersebut merangkumi pelbagai aktiviti berteraskan pemulihan ekosistem, termasuklah penanaman bakau, rhu dan merbau, penanaman karang, serta usaha pemuliharaan dan rehabilitasi alam sekitar, di samping aktiviti pembersihan pantai di kawasan Taman Laut dan perkampungan setempat.
“Ia turut melibatkan pembersihan dasar laut yang berfokuskan kepada pengumpulan pukat hantu serta sisa plastik, selain program kitar semula kreatif berasaskan komuniti dan advokasi alam sekitar.
“Kesemua usaha ini dilaksanakan bagi menyokong Projek Planet Rakan Muda Peringkat Kebangsaan 2026 anjuran KBS serta Program Penanaman 100 Juta Pokok di bawah Program Penghijauan Malaysia yang dikendalikan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Program yang diterajui BPMB itu berkata, Alam beroperasi sebagai sebuah syarikat bebas tanpa keuntungan yang dikecualikan cukai serta diperbadankan sebagai syarikat berhad menurut jaminan di bawah Akta Syarikat 2016.
Operasinya dipantau oleh Lembaga Pemegang Amanah yang bebas serta disokong rangka kerja tadbir urus selaras dengan piawaian BPMB.
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan BPMB, Zakiah Mat Esa berkata, inisiatif ‘ALAM Be-Leaf’ membuktikan bahawa tindakan kolektif mampu menghasilkan impak alam sekitar yang nyata.
“Di Pulau Redang, kami telah menarik penyertaan seramai 350 sukarelawan serta menanam 150 anak pokok bakau bagi memperkukuh daya tahan pesisir pantai, di samping menyokong pemuliharaan karang serta pemulihan pantai.
“Dengan menghimpunkan rakan strategik merentas sektor, kami bukan sahaja memulihkan habitat kritikal, malah memperkukuh kesedaran serta tanggungjawab alam sekitar dalam kalangan komuniti demi impak menyeluruh yang berkekalan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Negara (Malaysia), Motohide Okuda, MUFG berkata, inisiatif ‘ALAM Be-Leaf’ menyerlahkan kekuatan kerjasama rentas sektor dalam memacu hasil alam sekitar yang nyata, susulan kejayaan program penanaman bakau di Labuan sebelum ini.
“Sebagai rakan jangka panjang kepada Malaysia, MUFG komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Alam serta rakan sehaluan dalam melindungi ekosistem semula jadi sambil memperkukuh penglibatan komuniti secara inklusif.
“Inisiatif seperti ini meningkatkan daya tahan pesisir, menyokong pemuliharaan biodiversiti, dan memperkasa komuniti khususnya belia untuk memainkan peranan aktif dalam membentuk masa depan yang lebih lestari,” katanya.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama KBS serta NRES, dengan sokongan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Reef Check Malaysia, Sustainable Ocean Alliance, ECOSWED dan The Taaras Redang Island Resort, antara lain.
Sepanjang 2025, inisiatif ‘ALAM Be-Leaf’ telah mencatatkan jumlah nilai projek melebihi RM365,000, dengan lebih 4,000 pokok ditanam serta penglibatan lebih 1,000 peserta merentasi lima negeri iaitu Terengganu, Perak, Selangor, Melaka dan Labuan.
Menerusi inisiatif berkenaan, Alam terus menerajui transformasi minda dan perubahan tingkah laku masyarakat, sambil memperkukuh peranan kerjasama strategik dalam mempercepat tindakan alam sekitar selaras dengan aspirasi kerajaan Madani ke arah pembangunan mampan dan inklusif.
Penglibatan belia kekal menjadi teras pendekatan Alam, sejajar pengiktirafan bahawa golongan muda merupakan pemacu utama penjagaan alam sekitar. – UTUSAN










