JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan akan terlibat berkempen membantu calon-calon Barisan Nasional (BN) mendapatkan semula mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, pihaknya berharap semangat ditunjukkan jentera pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity, semalam diteruskan sepanjang tempoh pilihan raya.
“Tumpuan kita adalah untuk UMNO dan BN menghadapi PRN Johor. Saya tengok semangat luar biasa ditunjukkan. Ini petanda baik dan saya juga hadir untuk berikan sokongan tidak berbelah bahagi.
“Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) telah lakukan terbaik untuk rakyat Johor tanpa mengira warna kulit, kaum, agama serta latar belakang mereka,” katanya menerusi satu video di laman sosial miliknya, hari ini.
Tambah Hishammuddin, mandat baharu terhadap kerajaan negeri akan membolehkan pelbagai dasar dan polisi yang telah dirancang dilaksana selari hasrat menjadikan Johor negeri maju menjelang 2030.
“Saya percaya dengan mandat lebih besar, apa yang telah diumum dan sedang dilaksana akan berjalan lancar. Disebabkan itu PRN kali ini penting untuk pastikan kepimpinan Menteri Besar dapat mandat semula.
“Ini bukan untuk jawatan, bukan untuk diri sendiri tetapi untuk rakyat dan negeri Johor,” katanya.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melancarkan jentera pilihan raya BN bagi menghadapi PRN Johor dihadapan lebih 10,000 ahli parti-parti komponen gabungan tersebut. – UTUSAN










