Perbuatan khianat - Zarina Zainuddin - Utusan Malaysia

Perbuatan khianat – Zarina Zainuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zarina Zainuddin, 56 memberitahu tuduhan produk pulut kuning yang diusahakannya mengandungi tikus dan najis haiwan tersebut adalah satu perbuatan khianat.

Malah, dakwaan tersebut tidak memberi kesan kepada perniagaannya kerana dia yakin dengan kebersihan serta kualiti makanan yang dihasilkan.

Malah, perniagaannya dilihat semakin berkembang sejak isu itu tular di media sosial.

“Orang yang sudah makan dan datang kilang saya pasti tahu. Jadi, tidak memberi impak.

“Malah, semakin bertambah tempahan yang saya terima. Dalam kilang saya bersih, selain lengkap sijil Halal, MESTI dan SSP. Kita bukannya kilang tepi jalan,” katanya.

Zarina berkongsi perkara itu ketika ditemui di Rumah Terbuka Next Level anjuran mStar dan Suria di Saloma Bistro, semalam.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung dakwaan mengenai produk tersebut apabila ditemukan tikus dan najis haiwan berkenaan.

Dalam pada itu, Zarina menyifatkan individu berkenaan kurang bijak kerana terlalu mengikut emosi dan menyalurkannya dengan cara yang salah.

“Dia kurang cerdik sebab melontarkan amarah dengan cara salah. Saya tak nak layan kerana ada banyak perkara lain yang lebih penting untuk difikirkan.

“Terserah mahu percaya atau tidak. Kalau orang sudah geram, mereka boleh buat macam-macam,” ujarnya.

Zarina atau Nur Zarina Mohd Zainudin dalam pada itu enggan mengambil tindakan mahkamah terhadap bekas pekerja dan individu itu.

Dia tidak mahu isu itu berpanjangan, meskipun mengakui tindakan itu seakan-akan mensabotaj perniagaannya.

“Hendak mengheret individu itu di mahkamah pun tak sesuai. Dia tiada duit, kalau saya lawan pun dia nak bayar guna apa? Saya pun tak mahu kes ini berpanjangan.

“Saya maafkan dia. Mungkin dia buat kenyataan itu dalam keadaan emosi dan marah,”kongsinya.

Mengenai dakwaan menyalahgunakan dana Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebanyak RM1 juta, pelakon itu menegaskan perkara itu tiada kaitan dengan individu terbabit dan semua urusan berjalan seperti biasa.

“Kita tak boleh pertikaikan saya guna duit MARA RM1 juta untuk kepentingan peribadi sebab itu urusan syarikat.

“Yang membuat dakwaan tiada kena mengena. MARA sendiri sudah memaklumkan perkara itu dan selagi kita bayar, selagi itu tidak timbul isu.

“Nak dapat pinjaman itu pun bukan senang sebab banyak syarat dan prosedur, malah nak meminjam pun kena ada duit,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN