PETALING JAYA: Persatuan Padel Malaysia (MPA) akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membincangkan masa depan sukan padel selepas mereka berjaya meraih pingat perak di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Presiden MPA, Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah berkata, jika segala perbincangan berjalan lancar, ia bakal menjadi satu perkembangan positif untuk mengukuhkan lagi masa depan dan juga pembangunan sukan padel di negara ini.
Katanya, MPA juga sudah menjalankan pelbagai usaha di peringkat akar umbi bagi melahirkan lebih ramai pemain berbakat, termasuk menganjurkan klinik pembangunan di Padel Depot, Kuala Lumpur untuk pemain berusia antara 12 hingga 16 tahun.
“Sudah tentu pencapaian ini membuka mata KBS dan MSN untuk memberi perhatian kepada padel. Kami juga sudah menjalankan pembangunan akar umbi dan mengadakan klinik untuk pemain muda. Kita mahu melahirkan lebih ramai pemain yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Abu Bakar berkata, persatuan turut menyediakan insentif kepada Christian Didier Chin-Aidan Yunus sebagai penghargaan atas kejayaan meraih pingat perak di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Dalam masa yang sama, Tengku Abu Bakar mengakui pencapaian berkenaan di luar jangkaan persatuan, sekali gus memberi dorongan untuk terus mempergiat usaha membangunkan bakat baharu.
Sebelum ini, gandingan padel lelaki negara itu mencipta sensasi apabila menyingkirkan beberapa lawan yang lebih baik untuk mara ke final sebelum tewas kepada pasangan adik-beradik dari Qatar.
Justeru, MPA optimis pada Sukan SEA 2027 nanti mampu menyumbang emas kepada kontinjen negara sambil melihat Filipina antara pesaing yang harus diberikan perhatian kerana mempunyai pasangan yang boleh mencabar kemampuan wakil negara. -UTUSAN











