SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bercadang mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor selaras titah Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan titah Raja-Raja Melayu terhadap persoalan semasa dalam negara.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hari ini beliau akan mengadakan perbincangan dengan Speaker Dewan Negeri Selangor bagi memulakan perancangan pelaksanaan titah tersebut secepat mungkin.
“Selanjutnya saya akan mempersembah hasil perbincangan tersebut kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk perkenan baginda bagi tujuan melaksanakan persidangan DUN secepat mungkin.
“Sidang DUN amat penting untuk diadakan, khususnya dalam usaha menangani Covid-19 di Malaysia pada saat ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amirudin berkata, titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu melambangkan keprihatinan dan kepedulian baginda semua terhadap nyawa dan kehidupan rakyat dan titah tersebut adalah amat dihargai dan dinanti-nantikan.
Katanya lagi, ini jelas menunjukkan baginda semua tidak pernah terpisah daripada realiti serta keluh-kesah rakyat Malaysia seluruhnya.
“Saya dengan ini mengalu-alukan dan menyanjung tinggi pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam mempertahan keluhuran sistem demokrasi berperlembagaan dalam negara.
“Ini bagi memastikan proses semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya. – UTUSAN ONLINE








