98,282 warga PDRM telah menerima suntikan vaksin - Utusan Malaysia

98,282 warga PDRM telah menerima suntikan vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 98,282 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima suntikan vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan sehingga Sabtu lalu.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 91,317 adalah mereka yang telah selesai menerima dua dos suntikan manakala 7,672 lagi sedang menunggu dos kedua.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, kesemua mereka yang telah menerima suntikan merupakan sebahagian daripada 114,496 pegawai kanan dan pegawai rendah.

Jelas beliau, pecahan bagi pegawai kanan yang telah selesai menerima dua dos suntikan adalah sebanyak 10,670 orang manakala 859 kakitangan sedang menunggu dos kedua.

“Bagi pegawai rendah pula, sebanyak 80,647 orang telah selesai kedua-dua dos vaksin manakala 6,106 lagi sedang menunggu giliran bagi mendapatkan dos kedua.

“Sebanyak 14,648 pegawai pangkat rendah dan pegawai kanan (1,566) yang belum menerima suntikan vaksin. Oleh itu, kami masih dalam proses menyelesaikan proses suntikan kepada baki 23,179 anggota polis yang masih belum divaksin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ramli berkata, selaku Pengarah Pengurusan, pihaknya berharap agar semua warga PDRM diberikan suntikan vaksin secepatnya namun pengedaran vaksin adalah di bawah kuasa Kementerian Kesihatan.

Menurut beliau, PDRM telah menyerahkan semua nama dan perincian kakitangannya kepada kementerian itu.

“Kami memahami kekangan yang dihadapi oleh Kementerian Kesihatan untuk menyalurkan vaksin kepada semua barisan hadapan dari pelbagai organisasi di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai anggota sekatan jalan raya (SJR) yang belum mendapat vaksin, kata beliau, PDRM tidak mempunyai kuasa menetapkan kakitangan mana yang harus diutamakan untuk diberikan suntikan vaksin.

“Oleh itu, semua anggota PDRM diminta untuk mendaftar di aplikasi MySejahtera sebelum diminta untuk menerima suntikan vaksin di pejabat Jabatan Kesihatan negeri masing-masing.

“Di samping itu, PDRM sebagai organisasi barisan hadapan sukar untuk menetapkan penugasan SJR kepada mereka yang telah menerima vaksin.

“Bagaimanapun, PDRM telah mengambil semua langkah untuk melindungi dan meminimumkan risiko kakitangan dijangkiti virus semasa bertugas,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN