PUTRAJAYA: Sebanyak 90 buah kilang diarahkan tutup sepanjang dua minggu pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia hasil pemeriksaan dilakukan pasukan Task Force Operasi Pematuhan di seluruh negara sehingga kelmarin.
“Sejumlah 404 buah kilang diperiksa dalam usaha memastikan sektor perkilangan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Jelasnya, secara kumulatif, 2,015 buah kilang dan 22,819 premis perniagaan diperiksa sejak 14 Januari lalu dengan sebanyak 143 buah kilang dan 17 premis perniagaan diarah tutup.
Dalam pada itu, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengeluarkan 414 kompaun daripada keseluruhan 597,252 pemeriksaan sejak 13 Mei lalu.
Katanya, bagi semalam sahaja, sebanyak 1,428 pemeriksaan pematuhan SOP dilakukan pihak kementerian itu dengan 22 kompaun dikeluarkan ke atas premis komersial yang ingkar.
Ismail Sabri berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sejak 6 Jun sehingga 14 Jun lepas menerima sebanyak 266 aduan yang memerlukan tindakan oleh pelbagai agensi.
“Daripada jumlah tersebut, bilangan paling tinggi yang direkodkan meliputi pelanggaran had peratusan kehadiran para pekerja ke tempat kerja iaitu sebanyak 62 aduan,” katanya.
Menurut beliau, ia diikuti sektor tiada keperluan yang dikesan masih lagi beroperasi iaitu 50 aduan dan baki 45 lagi melibatkan kategori ketidakpatuhan SOP am sepanjang PKP 3.0 penuh itu.
Katanya, pihak penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut membuat 138 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara semalam.
Hasil aktiviti pemeriksaan harian itu jelasnya, anggota CIDB mendapati 95 tapak binaan tidak beroperasi manakala sejumlah 31 daripada 43 tapak binaan yang beroperasi mematuhi SOP.
Bagaimanapun tambahnya, baki 12 lagi tapak binaan yang beroperasi itu diarahkan tutup dan sejak 20 April tahun lalu, pihak CIDB melakukan pemeriksaan ke atas 10,864 tapak binaan.










