PETALING JAYA: Persaingan untuk menentukan pasukan kedua terbaik Liga Super musim ini bakal diketahui hari ini, dengan tumpuan terarah kepada dua pencabar utama, Kuching City FC dan Selangor FC, yang kini hanya dipisahkan dengan satu mata di tangga liga.
Kuching City FC berada dalam momentum terbaik apabila berjaya melangkah ke final Piala Malaysia, sekali gus memperkukuh keyakinan mereka untuk menamatkan saingan liga di kedudukan lebih tinggi.
Ketika ini, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu berada di tempat kedua dengan kutipan 50 mata, hanya satu mata di hadapan pencabar terdekat, Selangor.
Namun, cabaran daripada Selangor FC dijangka tidak mudah digugat berikutan skuad kendalian Kim Pan Gon itu masih segar dengan kejayaan mereka mara ke ke final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) selepas menewaskan kelab Vietnam, Nam Dinh dengan kemenangan agregat 4-1, Rabu lalu.
Pengurus pasukan Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, walaupun mereka dijadual menentang PDRM FC yang kini berada di kedudukan corot liga, situasi tersebut tidak memberi kelebihan buat Red Giants.
“Objektif utama kami adalah menamatkan saingan liga di kedudukan terbaik dan melihat kepada situasi semasa PDRM yang kini di kedudukan tercorot itu bukan penanda aras untuk kami keluar ke padang dengan berasa terlalu yakin.
“Sebaliknya, kami akui sebarang kesilapan mudah boleh menghukum pasukan dan itu bermakna kami tidak boleh mengambil mudah terhadap cabaran PDRM,” katanya.
Katanya lagi, Selangor akan menurunkan kesebelasan terbaik dalam aksi terakhir liga yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya walaupun selepas ini mereka perlu bertemu kelab Thailand, Buriram United dalam final ACC pada 20 dan 27 Mei.
“Kami tetap menurunkan pemain terbaik dan kami tidak akan ‘simpan kuku’ untuk perlawanan ini. Semua pemain kesebelasan utama kami bebas daripada kecederaan malah bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa.
“Kami akan turunkan kesebelasan utama yang boleh berikan kemenangan kepada pasukan,” katanya.-UTUSAN










