Raja Perlis rentas gelombang zaman penuh kebijaksanaan - Utusan Malaysia

Raja Perlis rentas gelombang zaman penuh kebijaksanaan

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail bersama rakyat jelata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANJANG lebih dua dekad pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, baginda sebagai nakhoda mengemudi bahtera negeri ini berjaya merentas gelombang zaman dengan penuh kebijaksanaan. Baginda bukan sekadar seorang pemerintah, tetapi sebagai payung tempat seluruh rakyat berteduh.

Perjalanan selama 25 tahun pemerintahan baginda adalah suatu tempoh panjang dengan Tuanku Syed Sirajuddin selaku ketua negeri terus menitik beratkan soal kepentingan negeri ini.

Dalam tempoh tersebut, menyaksikan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum terus terjamin selain pembangunan serta pelbagai sektor lain terutama pelancongan dan pertanian di negeri ini semakin berkembang pesat saban hari. Perlis semakin ‘mendunia’.

Bagi sektor pertanian, Perlis pada 2023 mencatatkan pendapatan mencecah RM828.57 juta dengan subsektor tanaman menyumbang RM520.42 juta atau 62.8 peratus.

Industri harumanis di Perlis antaranya terus berkembang pesat dengan sehingga kini membabitkan lebih 2,700 pengusaha dengan keluasan tanaman mencecah 1,800 hektar serta hasil jualan mencecah puluhan juta setahun.

Pencapaian tersebut bukan sahaja memberi limpahan ekonomi kepada rakyat malah turut memperkukuh imej Perlis sebagai negeri pertanian yang dinamik.

Justeru, baginda mahu semua pihak termasuk agensi kerajaan, pengusaha dan pemain industri mempertingkatkan usaha dalam aspek penanaman, penyelidikan, pemprosesan serta pemasaran bagi memastikan jenama harumanis Perlis terus diperkasa dan dipelihara keaslian seterusnya menjadikan negeri ini kekal unggul sebagai hab pengeluaran mangga harumanis.

Dalam aspek pelancongan, keindahan dan keunikan negeri ini berjaya dimanfaatkan sepenuh apabila beberapa tahun kebelakangan ini, Perlis sentiasa menjadi tumpuan pengunjung seluruh dunia. Pada 2025, Perlis merekodkan kemasukan 5.12 juta pengunjung. Lokasi-lokasi pelancongan di Perlis khususnya yang berlatarkan keindahan alam semula jadi sentiasa tular di media sosial.

Kedudukan strategik Perlis di utara semenanjung Malaysia yang bersempadan dengan Thailand turut memberi kelebihan dan dalam titah baginda baru-baru ini menzahirkan harapan Perlis mampu muncul sebagai ‘Dubai kedua’ iaitu pintu gerbang terbuka kepada negara-negara ASEAN dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Dalam tempoh mendatang, Perlis mampu berkembang sebagai pusat dagang, inovasi dan pusat pertemuan ekonomi serantau. Malah, Perlis terus memperkukuh kedudukan negeri sebagai pintu perdagangan serantau selepas Perlis Inland Port (PIP) di Lembah Chuping, Padang Besar mula beroperasi. Perlis juga tidak lari daripada kemelut politik dan setiap kali itu, baginda dengan penuh kebijaksanaan berjaya merungkai dan menyelesaikan sebarang kemelut berbangkit.

Baginda sering menekankan agar semua pihak tanpa mengira fahaman politik perlu bersatu dan memberi tumpuan kepada usaha memajukan negeri, demi kepentingan rakyat keseluruhan.

Tahun lalu, menjadi detik cukup istimewa bagi rakyat negeri ini yang meraikan sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Raja Perlis.

Sambutan Jubli Perak pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin yang berlangsung selama setahun dengan pelbagai program itu diakhiri dengan kenduri rakyat dihadiri lebih 50,000 pengunjung di Kuala Perlis baru-baru ini.

Kata Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dalam ucapan pada majlis itu, kenduri rakyat berkenaan bukan sekadar majlis keraian, tetapi meraikan satu pencapaian amat bermakna bagi setiap jiwa rakyat negeri Perlis bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Raja Perlis.

Sepanjang pemerintahan, Raja Perlis menekankan bahawa kekuatan sebenar Perlis bukan hanya terletak pada buminya yang subur, tetapi pada intelek dan sahsiah rakyat.

“Semoga pemerintahan Raja Perlis terus kekal berdaulat, membawa lebih banyak kemakmuran dan keberkatan kepada negeri Perlis yang tercinta ini,” kata Abu Bakar. Hari ini, tanggal 17 Mei, Tuanku Syed Sirajuddin menyambut ulang tahun keputeraan ke-83.

Tuanku Syed Sirajuddin sangat disayangi oleh seluruh rakyat jelata berikutan sifat prihatin baginda yang sentiasa mengambil berat soal rakyat. Sikap pengasih dan keprihatinan baginda itu membuatkan rakyat berasa cukup bertuah mempunyai seorang raja berjiwa rakyat. Rakyat di negeri ini menzahirkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada baginda .

Mengambil kesempatan bersempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis Ke-83, sebagai anak jati Perlis, didoakan baginda sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus memayungi negeri ini di samping Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Di kesempatan sama, semoga pewaris takhta baginda iaitu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis. Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda baginda berdua terus dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus melindungi rakyat di negeri ini.

Daulat Tuanku!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN