PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi giat membantu kerajaan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui pewujudan 41 pusat pemberian vaksin (PPV) institusi pendidikan tinggi (IPT) di seluruh negara.
Kementerian itu menerusi kenyataan memaklumkan, empat lagi PPV akan dibuka bermula 21 Jun ini iaitu di Universiti Sains Malaysia (USM), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, UiTM Shah Alam dan Hospital UiTM Puncak Alam.
“Selain itu, sebanyak 19 lagi PPV dalam perancangan untuk dibuka sebagai tambahan kepada 18 PPV di IPT yang telah beroperasi di seluruh negara.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan PPV sebanyak 41 buah dengan seramai 134,932 orang telah menerima vaksin di PPV berkenaan setakat 11 Jun lalu,” katanya di sini hari ini.
Kenyataan itu menyebut, peruntukan tambahan sebanyak RM80 juta menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) sebelum ini juga akan dapat memperkasakan peranan Hospital Pengajar Universiti (HPU) dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.
Menurutnya, lima buah Hospital Pengajar Universiti (HPU) telah terlibat secara langsung dalam merawat pesakit Covid-19 sejak Februari tahun lepas sehingga 31 Mei lalu.
“HPU tersebut ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM) dan Hospital Universiti Teknologi Mara (HUiTM) Sungai Buloh.
“Kesemua HPU ini berstatus hospital hibrid Covid-19 yang mana pesakit-pesakit bukan Covid-19 masih terus mendapatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan di sini,” jelasnya.
Katanya, peruntukan disediakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam usaha berterusan mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam di negara ini.
“Kementerian juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) atas peluang kerjasama yang diberikan kepada pihak IPT untuk bersama-sama menangani wabak Covid-19 di negara ini.
“Kementerian yakin dan komited bahawa inisiatif bersama ini mampu melandaikan jangkitan Covid-19,” katanya.










