PETALING JAYA: Pelaksanaan had masa dua jam dalam semua premis peruncitan dan pusat beli-belah disifatkan tidak praktikal dan menimbulkan pelbagai persoalan kepada pengunjung serta pengurusan pusat beli-belah.
Ini kerana dalam tempoh tersebut, tiada mekanisme khusus ditetapkan bagi memantau setiap pergerakan dan masa pengunjung.
Malah Presiden Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Tan Sri Teo Chiang Kok berkata, pihak pengurusan pusat beli-belah tidak mampu mengesan setiap pergerakan pengunjung bagi memastikan peraturan selama dua jam dipatuhi.
Selain itu, katanya, adalah tidak praktikal meminta pengunjung menghentikan pembelian dengan memeriksa MySejahtera berdasarkan waktu masuk.
“Tanggungjawab dilakukan pembeli untuk mendisiplinkan diri mereka dalam dua jam dan bukannya pusat beli-belah.
“Satu cara yang praktikal adalah memasang papan tanda di pintu masuk dan kawasan umum. Di samping itu kami boleh memberi nasihat selain pengumuman kepada pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan.
Kerajaan sebelum ini menetapkan tempoh masa pelanggan di semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan kepada maksimum dua jam.
Dalam pada itu, Chiang Kok berkata, langkah mengehadkan bilangan pengunjung di pusat beli belah tidak praktikal kerana jumlah pengunjung yang masuk dari pelbagai arah di samping kesukaran untuk mengawal waktu kehadiran mereka.
Menurutnya, ini kerana tiada acara tertentu seperti pameran diadakan di pusat beli-belah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Tambahan pula, jumlah penumpang dalam kereta kini terhad kepada tiga orang dan jumlah penumpang pengangkutan awam tidak banyak bezanya dengan jumlah sebelum ini.
“ Oleh itu, kami berpendapat bahawa mengehadkan jumlah pelanggan dalam premis perniagaan mencukupi namun tidak bagi pusat membeli-belah kerana ia tidak mencukupi
praktikal dan mustahil untuk dilaksanakan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










