PUTRAJAYA: Masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia mendesak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya menggantikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) kerana didakwa gagal melindungi kebajikan masyarakat itu.
Presiden Persatuan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Rajesh Nagarajan berkata, pihaknya mendapati, JAKOA lebih cenderung memihak kepada pemaju serta kerajaan negeri terutama dalam isu penyelesaian tanah adat Orang Asli.
Beliau yang juga peguam mewakili komuniti Orang Asli berkenaan berkata, masyarakat Orang Asli secara keseluruhannya menolak kewujudan agensi itu yang didakwa tidak berfungsi sebagai pelindung hak dan kebajikan mereka.
“Masyarakat Orang Asli sering berdepan kesukaran mendapatkan bantuan apabila berdepan isu tanah adat dan pencerobohan, sekali gus memaksa mereka mendapatkan khidmat guaman bagi mempertahankan hak masing-masing.
“Kami menuntut supaya Ketua Pengarah Jakoa, Muhammad Akmal Ila Ahmad diganti dengan individu yang benar-benar bersedia membantu dan mempertahankan kepentingan Orang Asli di Malaysia.
“Kalau Jakoa menjalankan peranannya dengan baik, tidak perlulah peguam seperti saya tampil membantu mereka dalam pelbagai kes,” katanya ditemui selepas menyertai himpunan di hadapan bangunan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.
Katanya, tuntutan itu antara tiga isu utama dibangkitkan masyarakat Orang Asli selain turut mempertikai penglibatan polis dalam isu perobohan rumah penduduk di Pahang serta pendakwaan terhadap 12 Orang Asli di Rompin atas tuduhan menceroboh tanah yang didakwa merupakan tanah adat mereka.
Dalam pada itu, seorang lagi peguam, Sachpreetraj Singh Sohanpal ketika ditemui berkata, masyakat Orang Asli juga mahu kerajaan mengiktiraf tanah adat mengikut prinsip undang-undang berdasarkan kes-kes terdahulu.
Menurutnya, komuniti itu tidak mahu tanah adat mereka sekadar diwartakan atau dirizabkan di bawah Akta Orang Asli, sebaliknya mahu pengiktirafan yang lebih kukuh sebagai tanah adat yang tidak boleh ditarik balik sewenang-wenangnya.
“Pengiktirafan melalui keputusan mahkamah memberikan perlindungan lebih kuat berbanding status rizab kerana ia mempunyai asas perundangan yang lebih jelas dan kukuh,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya telah meminta satu sesi konsultasi rasmi bersama pihak kerajaan dalam masa terdekat melibatkan penyertaan 19 suku kaum Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
“Sesi itu disifatkan penting bagi membolehkan semua pihak membincangkan isu tanah adat secara menyeluruh dan mencari penyelesaian yang lebih berkesan.
“Kegagalan kerajaan menyelesaikan isu berkenaan sejak berdekad-dekad lalu telah menimbulkan kekecewaan dalam kalangan masyarakat Orang Asli,” katanya. – UTUSAN










