KUALA SELANGOR: Pengoperasian tiga loji janakuasa sisa kepada tenaga (WTE) dekat Jeram di sini dan Tanjung Dua Belas, Kuala Langat dijangka mengurangkan penggunaan tanah bagi pelupusan sampah lebih 2,000 hektar.
Selain jangkaan janakuasa sehingga 90 megawat (MW) kepada grid nasional, pengoperasian stesen tersebut juga dapat melupuskan hampir 90 peratus sampah domestik untuk dibakar sebagai sumber tenaga diperbaharui berbanding pelupusan secara konvensional.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebelum ini hampir 3,000 hektar tanah digunakan bagi tujuan pelupusan sampah, namun menerusi WTE tapak sanitari boleh digunakan bagi pengurusan sisa industri dan berjadual.
Katanya, secara kumulatif ketiga-tiga WTE dijangka mampu melupuskan sehingga 5,500 tan metrik sampah setiap hari menerusi kutipan di enam pihak berkuasa tempatan (PBT) utama iaitu Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya, Bandar Diraja Klang, Kuala Selangor dan Ampang Jaya.
“Yang 809 hektar tanah (guna tanah) sebenarnya kita boleh tukar kepada kawasan perumahan, pembangunan ekonomi, zon perniagaan, ataupun perkilangan yang merupakan salah satu daripada usaha yang perlu kita lakukan bagi membangunkan ekonomi.
“Jadi itulah transisi yang disebutkan dalam pengurusan sisa pepejal di Selangor daripada pengurusan di tapak pelupusan sampah yang diuruskan oleh kerajaan negeri melalui Worldwide Holdings Berhad (WHB), kita pergi ke arah pengurusan lebih lestari dengan teknologi terkini seperti WTE,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran WTE 1 Jeram, di sini, hari ini.
WTE 1 salah satu daripada dua loji yang dibina di sebelah tapak pelupusan sampah di Jeram memasuki operasi komersialnya pada 13 Mei lali dengan kemampuan melupuskan sehingga 1,500 tan metrik sisa pepejal setiap hari bagi menjana tenaga 26MW.
Loji tersebut yang mampu menjana tenaga bagi kegunaan 26,000 buah rumah itu mula dibina pada 2023, sebagai sebahagian daripada inisiatif tenaga boleh diperbaharui ia akan beroperasi dalam tempoh 30 tahun konsesi dalam pelaburan strategik kerajaan negeri melalui WHB.
Fasiliti tenaga bersih itu juga akan menyalurkan janaan kuasanya melalui lapan kilometer 11 kilovolt (KV) kabel transmisi yang dihubungkan kepada Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Kapar 132/33 KV.
Sementara WTE 2 yang dibina bersebelahan dengan WTE 1 masih dalam pembinaan dan dijangka mula beroperasi seawal Oktober tahun ini.
Amirudin dalam sidang akhbarnya memaklumkan pematuhan terhadap garis panduan alam sekitar dalam operasi WTE 1 akan dipantau secara langsung oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Kita tertakluk di bawah garis panduan Jabatan Alam Sekitar. Kita sentiasa mematuhi kriteria yang ditetapkan, malah pelaporan yang berlaku di skrin itu (pusat kawalan WTE 1) turut dipancarkan langsung di bawah kelolaan JAS yang tahu tentang operasi kita.
“Jadi, ada beberapa urusan tertentu, contohnya had pembakaran, mengelakkan pelepasan toksik daripada tersebar, debu terkeluar dan itu semua ada dalam kriteria kita dan dalam tempoh sebulan selepas ia beroperasi semuanya dalam kapasiti yang sangat baik,” jelasnya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau turut memaklumkan perkembangan cadangan pembinaan WTE Batu Arang, di sini yang masih dalam peringkat penilaian impak alam sekitar (EIA). – UTUSAN










