PUTRAJAYA: Isu logistik dan persiapan melibatkan para petugas merupakan antara faktor utama Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak dilaksanakan secara serentak.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang berlaku secara mengejut telah menyebabkan persiapan bagi negeri tersebut bukan dalam keadaan bersedia sepenuhnya.
“(DUN) Negeri Sembilan itu snap (mengejut). Jadi keadaan langsung tidak sedia.
“Negeri Sembilan cuma ada peti undi sahaja. Jadi kita perlukan masa untuk mereka (petugas SPR) betul-betul fokus dan kita selesaikan (PRN) Johor, baru kita akan bawa semua kumpulan petugas bantu Negeri Sembilan. Kalau buat serentak, persiapan kita memang tak sempat lah masa itu,” katanya ketika ditemui selepas mengumumkan tarikh penting pelaksanaan kedua-dua PRN berkenaan di Menara SPR hari ini.
Terdahulu, SPR menetapkan tarikh pengundian bagi PRN Ke-16 di Johor dan Negeri Sembilan dijalankan secara berasingan dengan masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos depan.
Dalam pada itu, ditanya mengenai pengesahan berkaitan pembubaran DUN Negeri Sembilan, Ramlan menegaskan bahawa isu tersebut berada di luar bidang kuasa SPR.
Bagaimanapun, katanya, SPR sudah mendapatkan pandangan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung perkara itu.
“Kita dapat pandangan daripada AG (Peguam Negara). Buat masa ini tidak ada isu bagi pihak SPR,” katanya. – UTUSAN










