ALOR GAJAH: Penduduk di negeri ini tidak perlu risau berhubung keresahan beberapa peniaga terutama di Pasar Borong Batu Berendam dekat sini, berhubung bekalan ikan yang didakwa tidak mencukupi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Rosli Mustafa berkata, berdasarkan pemantauan sejak seminggu lalu, tiada insiden terputus bekalan seperti diperkatakan.
Katanya, bekalan yang diperoleh dari luar khususnya Kuantan, Pahang; Sungai Besar, Selangor dan Endau, Johor masih mampu menampung permintaan penduduk di negeri ini.
Jelasnya, sepanjang tempoh PKP 3.0, sumber yang diterima adalah sebanyak 31 tan metrik pada 22 Mei lalu, 27 tan metrik (23 Mei) dan 29 tan metrik (24 Mei).
“Ini bermakna bekalan ikan masih mencukupi berdasarkan kemasukan ikan dari luar negeri ini setiap hari. Justeru, peniaga atau orang ramai tidak perlu risau atau resah mengenai bekalan ikan setakat ini.
“Bagi bekalan ikan daripada nelayan tempatan iaitu dari Sebatu hingga ke Kuala Linggi, LKIM merekodkan tangkapan ikan sehari adalah sebanyak 3.4 tan metrik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pejabat LKIM Kuala Sungai Baru di sini.
Kelmarin, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri memaklumkan, belum menerima aduan mengenai kekurangan bekalan ikan di negeri ini.
Ia susulan laporan Utusan Malaysia Selasa lalu berkenaan keluhan peniaga Pasar Borong Batu Berendam yang berdepan masalah kekurangan bekalan ikan, ekoran penutupan pasar itu selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat lepas, kerana terdapat peniaga disyaki positif Covid-19.
Bagaimanapun, Rosli mengakui, bekalan ikan import khususnya dari Indonesia dan Thailand amat berkurangan di bawa masuk berikutan penularan wabak Covid-19.
Biarpun begitu, katanya, ikan segar yang diperoleh dari seluruh negara masih mampu menampung permintaan daripada masyarakat setempat.
Beliau juga tidak menolak, pada hari tertentu hasil laut akan berkurangan khususnya ketika bulan terang, kerana nelayan sama ada di Pantai Barat atau Pantai Timur tidak turun ke laut.
“Dalam kalangan nelayan, bulan terang disifatkan tangkapan tidak membawa pulangan hasil yang lumayan, tetapi ini terjadi bukan selalu,” ujarnya. – UTUSAN










