SANTA CLARA: Austria menewaskan pendatang baharu Piala Dunia, Jordan, 3-1 dalam aksi Kumpulan J di Stadium Levi’s, sebentar tadi.
Kemenangan Austria disempurnakan oleh penyerang veteran, Marko Arnautovic yang menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan untuk memastikan tiga mata penuh buat pasukannya.
Austria terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Romano Schmid yang menghasilkan gol menarik apabila melepaskan rembatan jarak jauh yang gagal diselamatkan penjaga gol Jordan.
Jordan yang membuat penampilan sulung dalam sejarah Piala Dunia bagaimanapun tidak mudah mengalah dan terus memberi tekanan kepada lawan.
Malah, Ali Olwan hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan yang hanya sedikit tersasar sebelum akhirnya mencipta sejarah buat negaranya.
Pemain itu muncul penjaring pertama Jordan di pentas Piala Dunia menerusi rembatan kaki kanan yang menewaskan penjaga gol Austria, Alexander Schlager.
Bola tersebut turut terkena tiang sebelum menerjah ke dalam gawang, sekali gus mencetuskan kegembiraan dalam kalangan penyokong Jordan.
Namun, Austria kembali berada di hadapan pada minit ke-76 hasil gol sendiri pertahanan Jordan, Yazan Al-Arab ketika cuba menghalang serangan lawan.
Jordan terus berusaha mencari gol penyamaan, tetapi Austria berjaya mempertahankan kelebihan mereka sebelum Arnautovic menambah gol ketiga menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.
Kemenangan itu memberikan permulaan positif buat Austria dalam saingan Kumpulan J yang turut menampilkan juara bertahan, Argentina.
Walaupun tewas, Jordan tetap mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menjaringkan gol pertama negara itu di pentas Piala Dunia dalam penampilan sulung mereka di kejohanan berprestij tersebut.- AGENSI










