KLUANG: Jenazah Prebet Siti Khadijah Sungip yang maut akibat letupan semasa latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun, Kedah semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak, di sini pada pukul 1.15 petang, hari ini.
Jenazah dibawa pulang ke kampung halamannya di sini selepas proses bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah selesai awal pagi tadi.
Pengkebumian Prebet Siti Khadijah disempurnakan mengikuti istiadat ketenteraan sambil diiringi hujan renyai.
Suasana sekitar tanah perkuburan hiba sebaik sahaja bendera Jalur Gemilang diserahkan oleh Panglima 7 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Zulhelmi Masdar kepada ayah Allahyarham, Sungip Jais.
Majlis pengkebumian itu dihadiri lebih daripada 300 individu termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan setugas sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Terdahulu, jenazah tiba di dikediaman keluarga di Taman Sri Lambak di sini pada pukul 12.10 tengah hari sebelum di bawa ke Masjid Nurul Iman di sini untuk disolatkan.
Semalam, Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan mengesahkan berlaku insiden semasa pelaksanaan latihan membaling grened dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja Divisyen Kedua Infantri malaysia.
Dalam insiden pada pukul 10.57 pagi itu, Prebet Siti Khadijah dan Koperal Norazmi Abu Bakar mengalami kecederaan akibat letupan semasa latihan.-UTUSAN










