ATLANTA: Kemeriahan kejohanan bola sepak Piala Dunia sekali lagi dicemari apabila pihak berkuasa menahan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) di salah sebuah lokasi perlawanan di Atlanta.
Ia berlaku susulan operasi besar-besaran bagi membanteras penggunaan dron haram.
Insiden berkenaan disahkan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), pada Isnin.
Suspek, Lorenzo Rojas-Martinez, yang merupakan warga Mexico dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pengedaran kokain, ditahan selepas dikesan menerbangkan sebuah dron di ruang udara Centennial Olympic Park.
Taman berkenaan merupakan lokasi rasmi bagi penganjuran festival penyokong sepanjang kejohanan berprestij itu berlangsung.
Insiden berlaku ketika Atlanta bersiap sedia menganjurkan perlawanan pertamanya pada petang Isnin yang menyaksikan kejutan besar apabila pasukan pilihan, Sepanyol terikat seri menentang Cape Verde.
Menurut kenyataan pihak berkuasa, Rojas-Martinez kini berdepan pertuduhan kerana mengendalikan dron secara haram dan kesalahan menceroboh semula ke Amerika Syarikat (AS) selepas pernah diusir keluar sebanyak dua kali sebelum ini.
Berdasarkan aduan jenayah yang difailkan, suspek dikesan mengendalikan dron di dalam zon larangan terbang berhampiran Centennial Olympic Park.
Rojas-Martinez dilaporkan berdiri di kawasan tempat letak kereta berhampiran sambil merakam video acara tersebut menggunakan peranti berkenaan.
Selepas pemeriksaan dokumen dilakukan, ejen keselamatan mendapati suspek berada di AS secara haram. – AGENSI










