LGM nafi jual, pajak hartanah miliknya - Utusan Malaysia

LGM nafi jual, pajak hartanah miliknya

TANGKAP layar hantaran Facebook berhubung dakwaan penjualan serta pajakan hartanah milik LGM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Getah Malaysia (LGM) menafikan isu penjualan serta pajakan hartanah milik agensi itu sepertimana tular dalam media sosial.

LGM dalam kenyataan berkata, tidak ada sebarang urusan penjualan, pajakan atau urus niaga berkaitan dua lot tanah milik LGM iaitu Lot 20012 dan Lot 20013 (masing-masing nombor lama dikenali sebagai Lot 75 dan Lot 76) di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Menurutnya, semua penjualan atau pajakan tanah milik LGM perlu mendapat perakuan lembaga itu terlebih dahulu sebelum dimajukan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali untuk kelulusan.

“LGM telah menerima permohonan daripada beberapa syarikat bagi membeli Lot 20012. Pertimbangan dibuat selaras dengan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan serta pandangan Jabatan Warisan Negara,” katanya di sini hari ini.

LGM berkata, bagi Lot 20013, tawaran pajakan dibuat secara tender terbuka dan telus oleh LGM Properties Corporation (LGMPC) iaitu perbadanan milik LGM, pada Oktober tahun lalu.

Jelasnya, terdapat beberapa syarikat yang menghantar permohonan melalui tender tersebut dan berdasarkan kriteria, proses dan prosedur yang ketat oleh LGMPC serta LGM, Al-Noor Foundation telah terpilih setelah membida dengan bidaan tertinggi.

Namun begitu, katanya, keputusan bagi pajakan Lot 20013 dan penjualan Lot 20012 masih belum diputuskan oleh Lembaga Pengarah LGM, yang bermaksud, ia belum diangkat untuk pertimbangan dan persetujuan Menteri.

“Justeru, LGM menegaskan tidak ada sebarang perjanjian pajakan atau transaksi jual beli yang termeterai dengan mana-mana pihak.

“Mengikut peraturan, semua penilaian hartanah sama ada untuk pajakan atau penjualan akan dirujuk kepada JPPH sebelum kadar pajakan serta nilai pasaran semasanya ditentukan supaya memberi pulangan hasil yang terbaik untuk LGM,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN