PETALING JAYA: Atlet basikal trek negara, Mohd Akmal Nazimi Jusena belum mahu terlalu memikirkan peluang beralih ke acara individu apabila tetap meletakkan fokus penuh terhadap acara pecut berpasukan menjelang Sukan Asia di Aichi-Nagoya pada September ini.
Pelumba berusia 22 tahun itu mengakui pengalaman beraksi menentang legenda berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam aksi final acara pecut individu Kejohanan Basikal Trek Kebangsaan 2026 memberikan keyakinan baharu buat dirinya.
Namun misi utamanya ketika ini adalah memastikan skuad pecut berpasukan negara kembali mantap.
“Untuk tahun ini saya masih fokus kepada Team Sprint untuk Sukan Asia. Kami tunggu rakan sepasukan(Muhammad Ridwan Sahrom) pulih daripada kecederaan dan kemudian mulakan semula persiapan.
“Buat masa ini memang saya, Ridwan dan Fadhil hanya fokus kepada Team Sprint sahaja,” katanya.
Akmal sebelum itu mencuri perhatian apabila mara ke final dan memberi tentangan sengit kepada Azizulhasni, sekali gus menerima pujian daripada juara dunia Keirin itu yang menyifatkannya memiliki kelajuan serta potensi besar.
Mengulas pujian tersebut, Akmal mengakui berasa bangga dan puas hati dengan prestasinya, lebih-lebih lagi selepas menamatkan saingan di tempat keempat sehari sebelumnya.
Meskipun ramai melihatnya sebagai calon pelapis dalam acara Sprint dan Keirin individu, Akmal memilih untuk tidak terburu-buru menetapkan sasaran besar.
“Sudah tentu ada perancangan untuk ke arah itu, tetapi saya mahu habiskan tahun ini dahulu dan fokus kepada apa yang ada sekarang,” katanya.
Akmal turut mengakui pengalaman berdepan Azizulhasni banyak membuka matanya mengenai taktikal perlumbaan dan berhasrat mengkaji semula rakaman perlumbaan itu sebagai persediaan menghadapi cabaran lebih besar pada masa depan. – UTUSAN










