Reputasi besar bukan jaminan Portugal selamat

Reputasi besar bukan jaminan Portugal selamat

Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo dan bintang DR Congo, Yoane Wissa akan menjadi tumpaun dalam aksi Piala Dunia 2026, esok. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Portugal enggan memandang rendah keupayaan Republik Demokratik Congo (DR Congo) pada aksi pembukaan Kumpulan K, awal pagi esok, namun tekad memastikan kemenangan menjadi milik mereka dalam misi memburu trofi Piala Dunia pertama.

Pertembungan di Houston bukan sekadar menemukan dua pasukan dari benua berbeza, malah menjadi pentas buat Cristiano Ronaldo, meneruskan misi memburu satu-satunya gelaran utama yang masih belum berada dalam koleksi kariernya yang penuh gemilang.

Pada usia 41 tahun, Ronaldo sekali lagi menjadi sandaran utama skuad kendalian Roberto Martinez dalam usaha membawa Portugal melangkah lebih jauh berbanding pencapaian mereka di Qatar 2022 apabila terkandas di suku akhir selepas dikejutkan Maghribi.

Sehingga kini, pencapaian terbaik Portugal di Piala Dunia kekal tempat ketiga yang diraih pada edisi 1966.

Pertahanan Portugal, Matheus Nunes mengingatkan rakan sepasukannya supaya tidak terlalu yakin hanya kerana mereka memiliki reputasi lebih besar di atas kertas kerana DR Congo yang kembali ke Piala Dunia selepas penantian panjang selama 52 tahun.

“Piala Dunia adalah kejohanan yang sangat pantas dan kompetitif. Semua pasukan mempunyai kualiti tersendiri dan kami perlu menganggap setiap perlawanan seperti final.

“Mungkin ada pasukan yang kelihatan lebih lemah di atas kertas, tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit,” katanya.

Statistik bagaimanapun memihak kepada Portugal apabila mereka tidak pernah tewas dalam lima aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia menentang pasukan dari Afrika, dengan merekodkan empat kemenangan dan satu keputusan seri.

Sementara itu, perjalanan DR Congo ke Amerika Syarikat bukanlah sesuatu yang mudah apabila persiapan mereka terganggu akibat penularan wabak Ebola di negara berkenaan.

Kebanyakan pemain yang beraksi di Eropah terpaksa menjalani kuarantin selama 21 hari di Belgium dan Sepanyol sebelum dibenarkan memasuki Amerika Syarikat. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN