Lari berkemban selamatkan anak daripada kebakaran - Utusan Malaysia

Lari berkemban selamatkan anak daripada kebakaran

NORSIMA Hussin (kiri) bersama ibunya tidak dapat menahan sebak memikirkan rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Akibat cemas melihat api mula merebak di siling rumahnya mendorong Norsima Hussin, 25, melarikan diri dalam keadaan berkemban sambil mendukung dua anaknya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, rumah mereka adalah premis kedua yang terjejas akibat kebakaran di perkampungan atas air di Kampung Tanjung Aru kira-kira 1 pagi tadi.

“Semasa kejadian saya baru selesai mandi dan sebaik sahaja keluar dari bilik mandi, saya mula ternampak api sudah merebak di atas siling rumah kami, api merebak terlalu pantas.

“Disebabkan panik, saya terus mengangkat anak-anak saya dan keluar menyelamatkan diri dalam keadaan berkemban. Nasib ada jiran yang memberikan baju untuk dipakai.

“Sebaik sahaja berada di kawasan tanah lapang, saya terus menjerit ‘api, api’ bagi menyedarkan jiran-jiran lain tentang kebakaran yang berlaku kerana ketika itu terlalu sunyi sebab kebanyakan orang sudah tidur,” katanya ketika ditemui hari ini.

Wanita yang baru bersalin dua bulan lalu itu tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan termasuk dokumen pengenalan diri mereka anak-beranak. Telefon bimbit yang berada depan mata pun tidak sempat dicapai sebelum melarikan diri.

Katanya, botol susu dan puting babau (puting tiruan) anak-anak juga tidak sempat diselamatkan sehingga menyebabkan anak-anak menangis kerana tidak dapat tidur tanpa botol susu. Anak bongsunya itu kini berada di rumah kakaknya sementara dia menguruskan proses kemasukan mereka di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya berterima kasih kepada jiran yang membenarkan kami anak-beranak menumpang di rumahnya pagi tadi sebab jiran kesian melihat anak-anak saya yang masih kecil,” katanya.

Norsima turut melahirkan kekecewaan kerana mereka sekeluarga dituduh sebagai punca yang menyebabkan kebakaran itu bermula.

Bagi Hajiri Ghani,38, berkata, ketika kejadian dia baru hendak melelapkan mata dan tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi bising di luar rumah.

“Apabila saya jenguk ke luar rumah, api sedang marak hanya selang tiga rumah daripada rumah kami. Ketika itu, dalam fikiran saya hanya mahu menyelamatkan anak-anak.

“Tiada apa-apa yang sempat kami selamatkan dan baju dibadan ini sahaja yang tinggal. Biarpun ini rumah sewa namun, kami sudah tinggal di sini lebih 10 tahun,” katanya.

Hajiri berkata, barangan sekolah anak-anak juga musnah dalam kebakaran yang berlaku dan perkara itu membimbangkannya kerana ketika ini anak-anak belajar secara online melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bapa kepada lima anak ini seolah-olah tidak mampu berfikir bagaimana kehidupan mereka selepas ini kerana mereka hanya dibenarkan berada di PPS untuk tempoh tujuh hari sahaja.

Kebakaran di Kampung Tanjung Aru pada 1 pagi tadi menyebabkan 33 rumah musnah terbakar dan proses mengemaskini data mangsa yang terjejas masih dilakukan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN