Kawalan ketat masuk Labuan selama 14 hari - Utusan Malaysia

Kawalan ketat masuk Labuan selama 14 hari

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melaksanakan beberapa lagi sekatan tambahan bagi kemasukan para pengembara ke Wilayah Persekutuan Labuan selama 14 hari mulai lusa setelah mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 di pulau bebas cukai tersebut ketika ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya, individu berkenaan diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 RT PCR apabila mahu memasuki Labuan tiga hari sebelum ketibaan.

Bagi penduduk asal Labuan, kata beliau, mereka juga wajib kuarantin selama 10 hari di rumah dan tempoh yang sama itu bagi penjawat awam dengan pilihan sama ada di rumah atau hotel.

“Bagi pelawat warga asing dari luar negara yang dibenarkan, mereka perlu menjalani proses kuarantin wajib tersebut selama 14 hari di hotel ditetapkan.

“Pengguna Kad Harian Transporter pula, mereka diwajibkan mengambil ujian PCR setiap dua minggu di samping turut wajib menjalani ujian RTK antigen pada setiap minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri menambah, proses sign on/off ditangguhkan, tetapi sign off dibenarkan dengan perlu kuarantin 14 hari dan individu terlibat juga diwajibkan menjalani satu ujian RT PCR.

“Aktiviti kapal kumpit ditangguhkan buat sementara waktu,” kata beliau sambil memaklumkan bahawa pelaksanaan sekatan itu berkuat kuasa mulai Khamis ini sehingga 9 Jun ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN