KUALA LUMPUR: Hospital Kuala Lumpur mengesahkan tiga mangsa nahas kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) malam tadi masih kritikal dan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala dua lagi di wad dan seorang masih menunggu bagi dimasukkan ke ICU.
Bagaimanapun, Pengarahnya, Datuk Dr. Heric Corray berkata, daripada enam mangsa yang dilaporkan kritikal sebelum ini, seorang daripadanya dibenarkan pulang atas risiko sendiri setelah menerima rawatan pembersihan dan jahitan luka di atas kelopak mata sebelah kiri kerana memilih untuk menerima rawatan di hospital swasta.
“Tiga mangsa dimasukkan ke ICU dengan kecederaan pendarahan otak dan telah diintubasi. Dua memerlukan pembedahan dan satu lagi hanya memerlukan cerebral resuscitation. Ketiga-tiganya berada dalam keadaan yang sangat kritikal.
“Dua lagi mangsa mengalami patah tulang yang mana seorang mangsa dimasukkan ke wad dan seorang lagi mangsa dengan kepatahan tulang belakang masih di Jabatan Kecemasan dan trauma menunggu kemasukan ke Wad Ortopedik. Kedua-dua mereka stabil, ” katanya dalam sidang akhbar nahas kemalangan dua tren LRT di HKL, petang tadi.
Sidang akhbar itu dihadiri bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Berhad (Prasarana), Datin Norlia Noah.
Menurut Heric, seramai 19 pesakit menerima rawatan di zon kuning iaitu zon separa kritikal dan selebihnya menerima rawatan di Zon Hijau iaitu tidak kritikal yang melibatkan sebanyak 42 mangsa.
“Di Zon Kuning, seorang mangsa dimasukkan ke wad dengan kecederaan tisu lembut pada anggota bawah manakala baki 18 mangsa dibenarkan pulang dengan rawatan yang diberikan seperti pembersihan dan jahitan luka serta dibekalkan ubat tahan sakit.
“Di zon hijau, tiga manga dibenarkan pulang atas risiko sendiri ke hospital swasta manakala selebihnya mengalami kecederaan tisu-tisu lembut dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan yang diperlukan,” katanya.
Tambah beliau, daripada jumlah keseluruhan 67 mangsa yang diterima, mereka terdiri daripada warganegara dan warga asing.
“61 daripadanya adalah warganegara, lima warga asing yang terdiri daripada tiga warga Indonesia, seorang warga Filipina dan Iran manakala seorang lagi tidak dapat dikenal pasti kewarganegaraannya,” katanya.
Sementara itu, Annuar berkata, kementerian melalui Yayasan Wilayah Persekutuan mempunyai peruntukan sekiranya terdapat bencana atau musibah sebegini.
“Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) juga telah memberi arahan supaya mereka yang terlibat ini diberikan apa yang terbaik yang diperlukan. Kita akan tengok apa yang sesuai,” katanya. – UTUSAN ONLINE










