SUNGAI PETANI: Dua anggota tentera dilaporkan maut dipercayai akibat terkena letupan bom semasa menjalani latihan di sebuah kem di Gurun, dekat sini.
Kejadian dipercayai berlaku pagi tadi dan kedua-dua mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah tadi dan siasatan lanjut masih dilakukan.
Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan kenyataan akhbar berhubung kejadian itu akan dikeluarkan Kementerian Pertahanan dalam waktu terdekat. – UTUSAN










