Nyatakan perbezaan pandangan secara berhemah - Sultan Selangor

Nyatakan perbezaan pandangan secara berhemah – Sultan Selangor

Perbezaan pandangan
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan masyarakat supaya menyatakan masalah, membuat teguran, menyatakan perbezaan pandangan dengan baik dan berhemah.

Baginda bertitah, perbincangan terhadap sesuatu masalah hendaklah dilakukan secara tertutup supaya dengan semangat saling hormat-menghormati dalam mencari penyelesaian.

“Janganlah perkara-perkara yang boleh diselesaikan secara baik dibawa ke ruang awam sehingga mencetuskan pertelingkahan terbuka yang akhirnya hanya mendedahkan kelemahan umat dan bangsa kepada pandangan umum.

“Apabila kita bertengkar secara terbuka, pihak lain akan melihat kelemahan tersebut dan tidak mustahil ada yang mengambil kesempatan daripada perpecahan yang berlaku. Jika keadaan itu dibiarkan, tiada siapa yang akan benar-benar menang,” titah baginda dalam perutusannya sempena Maal Hijrah di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin menasihatkan, langkah itu boleh menjadi simbol penghijrahan ke arah lebih baik serta penyatuan ummah dalam menghadapi pelbagai cabaran seperti mana peristiwa Hijrah yang menjadi titik permulaan takwim Islam.

“Sehubungan itu, beta ingin mengulangi nasihat dan pesanan yang sering beta tekankan agar umat Islam sentiasa mengutamakan perpaduan.

“Beta masih mengingati pesanan almarhum ayahanda beta yang sering menasihatkan supaya kita tidak wash dirty linen in public. Maksudnya, jika terdapat sebarang masalah, perbezaan pandangan atau perkara yang perlu diperbetulkan, maka suarakanlah dengan penuh hikmah dan adab,” ujar baginda.

Tambah Sultan Selangor lagi, sempena sambutan Maal Hijrah tahun ini, masyarakat diseru supaya bersama-sama memperkukuhkan perpaduan, memperbanyakkan sikap toleransi, serta mendahulukan kepentingan agama, bangsa dan negara mengatasi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.

“Semoga tahun baharu 1448 Hijrah ini membawa keberkatan, keamanan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat serta menjadi titik permulaan kepada usaha memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan umat Islam dan seluruh masyarakat,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN