KOTA BHARU: Kerajaan negeri digesa mengambil langkah lebih proaktif dalam menangani pandemik Covid-19 dengan membeli sendiri kit saringan dan vaksin untuk kegunaan kira-kira 1.9 juta penduduk negeri ini.
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) negeri, Dr. Hafidzah Mustakim berkata, kegagalan kira-kira 10,000 individu menghadiri sesi pemvaksinan di Kelantan sebagaimana dilaporkan adalah membimbangkan.
Lebih membimbangkan katanya, bekalan vaksin diperuntukkan untuk rakyat Kelantan yang mungkin terlalu perlahan dan tidak seiring dengan kadar jangkitan pandemik tersebut yang pantas menular di seluruh negeri.
“Dengan kadar jangkitan harian melebihi 450 kes, kita perlukan usaha lebih tuntas bagi menyelamatkan nyawa rakyat dan inilah masanya kerajaan negeri berbelanja untuk membeli sendiri kit saringan dan vaksin Covid-19.
“Dengan kit saringan, kita boleh saring seramai mungkin dan asingkan mereka yang positif untuk memutuskan rantaian manakala vaksin pula sebagai ikhtiar pencegahan supaya imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Media melaporkan kira-kira 10,000 individu di Kelantan tidak hadir menerima suntikan vaksin sebagaimana dijadualkan di 19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri sehingga kelmarin.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin ketika mendedahkan perkara itu berkata, kebanyakan mereka merupakan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang rata-ratanya memberi alasan masalah kesihatan serta urusan peribadi.
Dr. Hafidzah berkata, selain masalah kesihatan, penolakan berlaku mungkin kerana ketakutan rakyat terhadap kesan sampingan vaksin akibat terpengaruh dengan berita palsu menerusi dalam talian atau disebarkan dari mulut ke mulut.
“Selain itu masalah logistik seperti pengangkutan dan juga bantuan fizikal seperti kerusi roda dan peneman untuk warga emas yang uzur mendapatkan vaksin juga merupakan batu penghalang kepada proses vaksinasi ini.
“Sudah tiba masa kita memikirkan satu sistem pandu lalu bagi pemvaksinan sebagaimana diamalkan di sesetengah negara, selain menambah baik prasarana untuk warga emas serta menambah sukarelawan bagi melicinkan proses di setiap PPV,” katanya. – UTUSAN ONLINE










