Calon tarik diri, PM baharu dilantik - Utusan Malaysia

Calon tarik diri, PM baharu dilantik

ADRIAN VESTEA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUCHAREST: Presiden Romania, Nicusor Dan pada Ahad me­lantik seorang perdana menteri baharu untuk membentuk kerajaan selepas calon sebelumnya menarik diri.

Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) itu berdepan kemelut politik sejak Perdana Menteri daripada Parti Liberal, Ilie Bolojan digulingkan menerusi usul undi tidak percaya pada awal Mei.

Parti Demokratik Sosial (PSD) yang sebelum ini menjadi rakan gabungan pemerintah, memutuskan untuk keluar daripada kerajaan campuran dan bekerjasama dengan blok kanan  bagi menyokong usul tidak percaya itu.

“Eugen Tomac menarik balik pencalonannya pagi ini dan dalam keadaan ini, saya melantik Adrian Vestea sebagai Perdana Menteri,” kata Dan dalam satu kenyataan.

Vestea, 52, yang juga pe­mimpin Parti Liberal, ditugaskan membentuk majoriti baharu pro-Barat di Parlimen selepas cadangan penyelesaian teknokratik yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Eropah, Eugen Tomac gagal memperoleh sokongan mencukupi.

“Baik Tomac mahupun saya tidak pernah mempermainkan urusan pentadbiran kerajaan.Namun, ketika ini, jelas bahawa penyelesaian politik adalah pilihan yang paling sesuai,” kata Dan.

Dan turut memuji pengalaman Vestea yang pernah ber­khidmat sebagai datuk bandar, presiden majlis daerah dan menteri pembangunan dalam kerajaan terdahulu.

“Saya mahu sebuah kerajaan politik yang akan melaksanakan reformasi sebenar dan memastikan Romania terus berada di landasan pro-Barat.

“Saya memikul tanggungjawab ini ketika negara sedang berdepan krisis politik,” kata Vestea sambil menambah beliau akan berunding dengan parti-parti politik demokratik pro-Barat di Parlimen Romania. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN