Covid-19: 40 warga Kontinjen Perak dikuarantin - Utusan Malaysia

Covid-19: 40 warga Kontinjen Perak dikuarantin

MIOR Faridalathrash Wahid memeriksa dokumen perjalanan pemandu kenderaan di SJR Jalan Raja Dr. Nazrin Shah di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 40 pegawai dan anggota polis Kontinjen Perak dikuarantin akibat jangkitan atau mempunyai kontak rapat dengan individu dijangkiti Covid-19.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, jumlah yang turut membabitkan kakitangan awam dan keluarga itu direkodkan untuk dua hari berturut-turut sehingga semalam.

“Di Kontinjen Perak, hanya seorang pegawai kanan disahkan positif dijangkiti Covid-19 selain enam kakitangan awam dan dua ahli keluarga.

“Berdasarkan rekod, 16 pegawai kanan dan anggota dikuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan individu dijangkiti manakala penjawat awam (tiga) dan ahli keluarga (12),” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Raja Dr. Nazrin Shah dekat Medan Gopeng di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mior Farid berkata, pihaknya mengenal pasti lorong tikus di empat mukim di negeri ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, kawalan ketat dilakukan di kawasan tersebut bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk orang ramai tanpa kebenaran.

“Pelaksanaan PKPD bagi empat mukim di Perak tidak melibatkan pemasangan kawat duri kerana ia meliputi kawasan yang sangat luas.

“SJR dan pasukan pemantau SOP serta elemen rondaan digunakan bagi memantau pergerakan keluar masuk orang awam terutama selepas pukul 10 malam,” katanya.

Menurutnya, sepanjang pelaksanaan PKPD, pihaknya menambah 11 lagi SJR menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 24 SJR.

“Seramai 962 pegawai dan anggota ditugaskan di empat mukim PKPD melibatkan penugasan SJR dan pasukan pemantauan dengan dibantu 308 orang daripada pasukan sahabat menjadikan kekuatan keseluruhan seramai 1,270 orang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN