PETALING JAYA: Sebarang keputusan berhubung pelantikan atau penyambungan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dibuat berasaskan integriti, rekod prestasi serta keyakinan awam dan bukan dipengaruhi tekanan politik atau persepsi semata-mata.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia, Jais Abdul Karim berkata, pelantikan jawatan tertinggi dalam SPRM tidak membabitkan individu semata-mata, sebaliknya melibatkan kredibiliti institusi dalam memastikan badan penguatkuasaan itu terus berfungsi secara bebas dan berkesan.
Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum perkembangan semasa berkaitan kemungkinan tidak disambungnya kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM serta Titah terkini oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Seperti yang dizahirkan dalam kenyataan rasmi Istana Negara, pelantikan ini adalah satu jawatan yang amat penting dalam memastikan SPRM terus berfungsi secara berkesan dan bebas serta tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
“Sehubungan itu, sebarang keputusan untuk tidak menyambung kontrak atau membuat pelantikan baharu mesti berasaskan integriti, rekod prestasi dan keyakinan awam, bukannya tekanan politik atau persepsi semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bertitah baginda akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Baginda bertitah, jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Berhubung dakwaan isu pemilikan saham yang pernah dikaitkan dengan individu yang mengetuai SPRM, Jais berkata, proses keadilan yang dilaksanakan perlu diumumkan untuk memberi keadilan kepada beliau dan semua pihak yang sedang memberi perhatian kepada kes berkenaan
“Dalam konteks badan penguatkuasaan, sebarang bayangan konflik kepentingan atau kontroversi, walaupun belum dibuktikan di mahkamah, boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keseluruhan sistem.
“Sekiranya wujud keraguan serius terhadap integriti kepimpinan, mekanisme semakan bebas dan telus sedia ada perlu membuktikan bahawa ia berfungsi dengan berkesan,” katanya.
Menurut Jais, sebarang pelantikan baharu perlu dilaksanakan melalui proses yang lebih terbuka dan berasaskan merit bagi memastikan akauntabiliti kepada Parlimen dapat diperkukuh.
“Reformasi institusi seperti Suruhanjaya Pelantikan bebas bagi Ketua SPRM perlu dipercepatkan.
“Selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, perkara ini tidak wajar dipolitikkan. MCW menyeru semua pihak agar berhenti menjadikan SPRM sebagai alat naratif politik dan mula memperkukuhnya sebagai institusi yang benar-benar bebas, berintegriti dan digeruni oleh perasuah,” katanya. – UTUSAN










