AWAL tahun ini Institut Integriti Malaysia (IIM) menerbitkan buku, Menjunjung Amanah, Memacu Integriti yang mengisahkan dua dekad penubuhan badan itu. Buku itu memberi fokus usaha memupuk nilai-nilai berintegriti, sekali gus dalam jangka panjang membantu usaha memerangi rasuah dalam kalangan rakyat Malaysia.
Buku itu juga membawa kita kepada perjalanan lebih dua dekad IIM sebagai sebuah badan penting dalam memupuk nilai-nilai berintegriti, yang penting ketika itu, pada hari ini dan masa-masa akan datang.
Dalam ucapan pelancaran IIM dan Pelan Integriti Nasional (PIN) pada 23 April 2004, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri ketika itu, menekankan satu mesej yang jelas. Menurut beliau, “PIN merupakan satu pelan induk yang bertujuan untuk menggubal strategi dan memberi hala tuju bagi semua sektor masyarakat supaya mereka dapat bekerjasama dan mengambil bahagian secara langsung dalam usaha memantapkan nilai etika dan integriti.”
Objektif PIN dalam jangka panjang adalah untuk memenuhi cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan warganya mempunyai nilai keadaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur.
Di samping itu, PIN juga mempunyai objektif meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama rakyat sejagat dari pelbagai sektor dalam usaha pemantapan integriti.
Malah kata beliau, skop PIN adalah holistik dan menyeluruh. Tumpuan diberi ke arah peningkatan integriti daripada peringkat teratas hingga ke peringkat akar umbi.
Sebanyak sembilan sektor atau komponen masyarakat dikenal pasti dalam PIN ketika itu. Bagi memantapkan lagi PIN, menurut Abdullah, yang turut dikenali sebagai Pak Lah, satu agensi atau jentera pelaksana diperlukan.
Oleh itu, serentak dengan penggubalan PIN, IIM turut ditubuhkan. IIM merupakan sebuah institusi bebas yang akan bersifat sebagai agensi pemantau dan koordinasi bagi PIN, kata beliau yang menerajui jawatan Perdana Menteri kira-kira tujuh bulan sebelum pelancaran PIN dan IIM.
Ketegasan, cinta dan komitmen Pak Lah dalam memperkayakan nilai-nilai berintegriti tidak datang secara mengejut atau mendadak. Beliau telah pun menyemai langkah-langkah murni awal ke arah itu ketika masih diberikan mandat sebagai timbalan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK).
Sebab itu sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri kelima pada 31 Oktober 2003, Pak Lah mengumumkan antara penekanan beliau di bawah kepimpinannya.
Pada sidang media pertama pada 5 November 2003, selepas mesyuarat Jemaah Menteri sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau menekankan prinsip integriti, perpaduan nasional dan pembangunan modal insan sebagai teras pentadbirannya. Ia menjadi asas kepada pelancaran PIN dan IIM kemudian.
Ia dilihat sebagai satu refleksi terhadap keperluan membina jiwa negara yang jujur dan beramanah, berdasarkan buku tersebut.
Malah menurut buku itu, pelbagai pandangan dan input menunjukkan kepimpinan Abdullah telah lama melihat keperluan pemupukan nilai-nilai integriti dengan serius, menyeluruh dan komprehensif.
Dalam hal ini, buku Menjunjung Amanah, Memacu Integriti menggambarkan beliau sebagai tunjang kepada penterjemahan satu idea kecil yang tegas.
Beliau menterjemahkan hasrat murni penubuhan sebuah entiti yang amat penting, yang beroperasi dari kawasan elit dan tumpuan ramai, tidak jauh dari Istana Negara dan kompleks pejabat-pejabat kerajaan dan kemudahan pengangkutan awam di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin (dahulu dikenali sebagai Jalan Duta).
Kejayaan IIM dan pelaksanaan PIN selama dua dekad ini adalah hasil usaha berpasukan. Keterlibatan pihak kepimpinan, pengurusan, ahli akademik, rakan strategik di peringkat persekutuan, negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan rakan kongsi antarabangsa, serta masyarakat keseluruhannya yang memberi maklum balas dan sokongan.
Marilah kita terus memperkukuh usaha ini dengan semangat keterbukaan, ketelusan dan keberanian, kekal dalam satu kesatuan dan pasukan, demi melakukan perubahan. Integriti bukanlah destinasi sekali tiba.
Ini adalah komitmen harian yang mesti dihidupkan melalui tindakan, sistem dan teladan.
PIN, yang telah digubal lebih dua dekad lalu bukan sekadar sebuah dokumen dasar. Ia adalah reaksi tegas terhadap keperluan nasional yang mendesak untuk mengangkat kembali maruah pentadbiran, memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi dan membina asas pembangunan negara yang berpaksikan nilai.
Tekad Integriti sebagai sasaran yang menjadi matlamat untuk digapai, merupakan cetusan kehendak masyarakat pelbagai lapisan. PIN bukan suatu rekaan penulis, sebaliknya ia merupakan gagasan dan wacana mampan dari masyarakat kepada masyarakat, yang memerlukan penggemblengan usaha dan gerakan secara dinamik dan tuntas oleh semua sektor masyarakat – tanpa kecuali.
IIM BAWA DIMENSI BAHARU
Selaras dengan terbentuknya PIN, IIM ditubuhkan. Penubuhan institusi ini merupakan satu langkah strategik secara berstruktur, lestari dan holistik. Ia mencerminkan iltizam kepimpinan negara dan dikehendaki oleh rakyat.
IIM diangkat sebagai suatu dimensi baharu bagi meletakkan integriti sebagai teras utama pembangunan nasional dalam pelbagai aspek kehidupan. IIM bukan sekadar pelaksana pelan tindakan berlandaskan PIN, sebaliknya ia diwujudkan sebagai sebuah institusi pemacu perubahan budaya berintegriti, pusat pemikiran, pendidikan, penyelidikan dan advokasi yang membawa misi besar.
Sementara PIN sebagai pelan dasar, IIM menggerakkan keupayaan bersama semua sektor masyarakat di pelbagai peringkat, berusaha gigih untuk memastikan integriti sebagai budaya, gaya dan cara hidup, nilai dan panduan tingkah laku, adab dan akhlak.
IIM dan PIN merupakan antara legasi atau peninggalan hasil kepimpinan beliau yang amat bersejarah, bermakna dan penting bagi negara.
Hari Integriti Nasional diisytiharkan kerajaan pada 5 November 2005 dalam usaha membudayakan integriti, memupuk nilai-nilai murni sejagat serta tadbir urus dalam kalangan masyarakat.
Dikenali di Malaysia sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan, Pak Lah meninggal dunia pada 14 April 2025. Beliau meninggalkan sumbangan yang amat bernilai kepada negara dan rakyat.
Usaha awal beliau itu sebenarnya membawa impak besar daripada sudut pemupukan budaya berintegriti meskipun rasuah masih kekal sebagai isu dan masalah besar, yang memerlukan usaha berterusan memupuk nilai-nilai berintegriti.
Dalam masa sama kita wajar mempertimbangkan untuk menamakan IIM sebagai Institut Integriti Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi menghargai dan mengabadikan sumbangan amat penting Pak Lah kepada negara.
Jasa beliau dalam usaha pemupukan nilai-nilai berintegriti bukan kecil.
Tahun ke-22 ini wajar membawa imej baharu kepada IIM dengan perubahan nama institut itu. –UTUSAN
DATUK Seri Dr. Irmohizam Ibrahim ialah Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dan Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Pusat Dagangan Dunia (WTCA) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat (AS).











