Barangan keperluan di Kedah dijamin cukup - KPDNHEP

Barangan keperluan di Kedah dijamin cukup

RAE MORN VERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah memberi jaminan barang keperluan di negeri ini mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau total lockdown di seluruh negara bermula Selasa ini.

Pengarahnya, Rae Morn Verak berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil risiko dengan bersesak-sesak di pasar raya atau kedai-kedai runcit untuk membuat pembelian panik.

“Kita ingin tegaskan bahawa semua barang keperluan untuk Kedah adalah mencukupi dan tidak perlu pembelian panik walaupun lockdown penuh dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, berdasarkan laporan pemantauan oleh KPDNHEP Kedah semalam mendapati jumlah pelanggan lebih ramai berbanding hari biasa, namun tidak berlaku pembelian panik kerana jumlah barangan dibeli dalam kuantiti biasa.

“Kuantiti barang yang dibeli tidak banyak dan masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta 342,” ujarnya.

Ujarnya, pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan oleh 169 orang pegawai penguat kuasa KPDNHEP dan 52 pegawai pemantau harga mendapati barangan keperluan utama pengguna seperti barangan basah dan barangan kering adalah mencukupi.

“Pemeriksaan oleh pegawai-pegawai penguat kuasa dijalankan secara harian dan berterusan bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa mencukupi dan mudah diakses oleh pengguna,” jelasnya.

Tambahnya, jumlah keseluruhan bekalan barangan asas sehingga hari ini antaranya gula sebanyak  985.23 metrik tan, minyak masak, 537.853 tan metrik, tepung gandum 204.706 tan metrik dan gas petroleum cecair sebanyak 45,801 tong.

“Pejabat KPDNHEP telah melantik sejumlah 180 Peruncit Daerah Terpilih dan 52 Pemborong Daerah Terpilih bagi memastikan bekalan semasa barangan keperluan asas sentiasa mencukupi dan tidak terjejas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN