Pemimpin punca Melayu berpecah-belah - Utusan Malaysia

Pemimpin punca Melayu berpecah-belah

Perpecahan Melayu diterjemahkan melalui kewujudan pelbagai parti yang mewakili mereka berpunca daripada pemimpin yang mahu kekal berkuasa dan mencapai matlamat peribadi mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN terbaru bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa perpecahan dalam kalangan orang Melayu boleh menjejaskan peluang mereka untuk terus memegang jawatan Perdana Menteri membuka semula satu perdebatan lama.

Apakah yang menjadi punca kepada perpecahan ini? Dan siapakah yang menjadi penyebab hingga Melayu kini menjadi berpuak-puak yang saling bercakaran?

Siapakah sebenarnya yang mengundang perpecahan ini? Adakah rakyat biasa yang terlalu taksub dengan ideologi, atau pemimpin sendiri yang mencorakkan garis pemisah?

Hakikatnya, jika diteliti secara mendalam, pemimpin memainkan peranan besar dalam membentuk landskap perpecahan ini, sama ada secara sedar atau tidak. Ini adalah realiti pahit yang perlu ditelan kerana setiap perpecahan, ada tangan di peringkat atasan yang bertanggungjawab.

Ironinya, para pemimpin ini pula tidak akan pernah mahu menyalahkan diri mereka atau mengambil tanggungjawab terhadap segala apa yang mereka telah lakukan ke atas umat Melayu.

Mereka lebih senang menuding jari menyalahkan satu sama lain yang menyebabkan perpecahan menjadi semakin lebar dan sukar untuk disatukan.

Politik kepartian: Dari persaingan ke perpecahan
Sejak sekian lama, politik Melayu berlegar dalam persaingan antara parti-parti utama. Pada sekitar tahun 1960 hingga hujung 1980an ia hanya membabitkan UMNO dan Pas.

Selepas itu apabila berlaku pergeseran dalam UMNO disusuli dengan tindakan pecat-memecat maka kumpulan yang tersingkir menubuhkan parti baharu.

Sebab itu, wujud Semangat 46 yang ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan pada hujung 1990-an, Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas beliau dipecat daripada UMNO.

Pada asasnya, kewujudan banyak parti ini melahirkan persaingan sihat dalam demokrasi. Namun, apabila ia bertukar menjadi pertembungan identiti dan emosi, ia melahirkan perpecahan yang sukar dipulihkan.

Pemimpin politik sering menggunakan naratif ‘kami vs mereka’ untuk mengukuhkan sokongan. Dalam usaha memenangi pilihan raya, sentimen agama, bangsa dan sejarah dimobilisasi secara agresif. Akibatnya, perbezaan pandangan tidak lagi dilihat sebagai kepelbagaian, tetapi sebagai ancaman.

Di sinilah titik penting. Perpecahan bukan berlaku secara semulajadi. Ia dibentuk, dipupuk dan kadangkala dimanfaatkan.

Demi mengekalkan kuasa dan sokongan, maka para pemimpin ini tampil dengan retorik-retorik yang memisahkan bangsa. Ucapan politik yang tajam dan beremosi sering menjadi alat.

Dalam banyak keadaan, pemimpin memilih untuk menonjolkan kelemahan lawan secara berlebihan, membangkitkan ketakutan terhadap ‘kehilangan kuasa’ dan mempersoalkan kesetiaan sesama Melayu yang berbeza parti.

Retorik sebegini mungkin berkesan dalam jangka pendek, tetapi kesannya mendalam. Ia membina tembok psikologi sesama Melayu sehingga perbezaan politik menjadi jurang sosial.

Apabila ini berlaku secara berterusan, masyarakat menjadi terpecah kepada kelompok-kelompok kecil yang sukar untuk bersatu walaupun dalam isu besar.

Perebutan kuasa melebihi agenda bangsa

Kenyataan Dr. Mahathir tidak boleh dilihat secara terpisah daripada realiti politik semasa. Dalam banyak situasi, perpecahan bukan sekadar soal ideologi, tetapi berkait rapat dengan perebutan kuasa.

Peralihan sokongan, lompat parti, pembentukan gabungan sementara semua ini memberi gambaran bahawa kestabilan sering dikorbankan demi kelangsungan politik individu atau kumpulan tertentu.

Persoalannya, jika matlamat sebenar adalah untuk memperkukuh kedudukan Melayu, mengapa strategi yang dipilih sering melemahkan kesatuan itu sendiri?

Rakyat kebiasaannya akan mengikut arus kepimpinan. Jika pemimpin menunjukkan teladan kerjasama, rakyat cenderung untuk bersatu. Tetapi jika pemimpin menonjolkan konflik, rakyat akan mewarisi budaya yang sama.

Jika pemimpin kata bersatu, maka akan bersatulah rakyat. Jika pemimpin kata berperang, maka porak perandalah bangsa Melayu tanpa ada kesatuan yang boleh menjadikan mereka kuat dan dihormati.

Dalam konteks ini, adalah tidak adil untuk menyalahkan rakyat sepenuhnya atas perpecahan. Sebaliknya, pemimpin perlu bertanggungjawab terhadap naratif yang mereka bina.

Perpecahan yang berlaku hari ini adalah hasil daripada tahun-tahun panjang pembentukan persepsi yang sebahagian besarnya dipacu oleh elit politik.

Amaran Dr. Mahathir bahawa perpecahan boleh menjejaskan peluang orang Melayu untuk terus menjadi Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang mustahil. Dalam sistem demokrasi berbilang kaum seperti Malaysia, sokongan politik tidak boleh lagi bergantung kepada satu kelompok semata-mata.

Jika orang Melayu terus berpecah kepada blok-blok kecil maka kuasa politik akan menjadi lebih terpecah, rundingan politik pula menjadi lebih kompleks dan sudah tentu kestabilan kerajaan sukar dicapai.

Akhirnya, apa yang dibimbangkan oleh Dr. Mahathir boleh menjadi realiti bukan kerana kekurangan bilangan, tetapi kerana kegagalan untuk bersatu.

Kepimpinan yang perlu menyatukan

Penyelesaian kepada masalah ini bukan sekadar menyeru perpaduan secara retorik. Ia memerlukan perubahan dalam gaya kepimpinan. Pemimpin perlu rintis jalan supaya politik perpecahan yang berlaku ketika ini beralih kepada politik kerjasama.

Daripada retorik emosi yang menyuntik dendam dan amarah perlu beralih kepada dasar berasaskan fakta dan daripada kepentingan jangka pendek kepada visi jangka panjang.

Kalau benar-benar ikhlas mahu lihat bani Melayu bersatu, pemimpin perlu berani keluar daripada kitaran lama yang menjadikan perpecahan sebagai strategi untuk mencapai kepentingan politik dan peribadi mereka.

Perlu diingat, perpecahan Melayu bukan berlaku dalam vakum. Ia adalah hasil daripada dinamika politik yang panjang dan pemimpin berada di tengah-tengahnya. Dr. Mahathir sendiri perlu melihat kenyataan beliau itu bukan sekadar sebagai peringatan, tetapi sebagai cerminan kepada realiti yang telah lama terbina.

Jika pemimpin benar-benar mahu melihat orang Melayu kekal relevan dalam landskap politik negara, langkah pertama bukan sekadar menyeru perpaduan tetapi berhenti menjadi punca perpecahan itu sendiri.

AZNAN BAKAR adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN