PETALING JAYA: Kuota subsidi bahan api sebanyak 50 liter sehari yang diperuntukkan kepada nelayan Zon A tidak lagi relevan dengan keperluan operasi semasa, khususnya nelayan yang menggunakan pukat kembong dan rawai di seluruh negara.
Golongan nelayan mendakwa, kuota sedia ada tidak mengambil kira perubahan teknologi bot serta penggunaan enjin yang jauh lebih berkuasa, sekali gus menyebabkan kos operasi harian meningkat dan menekan pendapatan mereka.
Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Mohd. Faizal Mohd. Zabri berkata, kebanyakan nelayan kini menggunakan enjin bot berkapasiti sehingga 200 kuasa kuda (hp), berbanding sekitar 85hp pada masa lalu.
Katanya, perubahan spesifikasi bot itu secara langsung meningkatkan penggunaan bahan api bagi setiap trip tangkapan, terutama bagi operasi yang melibatkan jarak lebih jauh di kawasan pesisir.
“Nelayan rawai dan pukat kembong sekarang guna enjin lebih besar, ada yang mencecah 200hp. Kalau dulu sekitar 85hp, sekarang sudah banyak berubah dan penggunaan minyak juga meningkat dengan ketara.
“Dalam keadaan semasa, penggunaan minyak bagi satu trip boleh mencecah kira-kira 150 liter sehari, malah ada kalanya lebih daripada itu bergantung kepada lokasi tangkapan dan tempoh berada di laut,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Mohd. Faizal berkata, jumlah subsidi 50 liter sehari yang ditetapkan ketika ini tidak mencerminkan realiti sebenar keperluan operasi nelayan dan menyebabkan mereka terpaksa menanggung lebihan kos dengan membeli bahan api pada harga pasaran.
Katanya, situasi tersebut amat membebankan memandangkan hasil tangkapan dan harga jualan ikan tidak meningkat seiring dengan kenaikan kos operasi.
“Masalah utama sekarang ialah kos terus naik, tetapi harga ikan tidak boleh dinaikkan sesuka hati. Akhirnya nelayan yang menanggung tekanan kerana margin pendapatan semakin mengecil.
“Ramai terpaksa keluarkan wang sendiri untuk tambah minyak bagi memastikan mereka dapat turun ke laut dan meneruskan operasi harian,” katanya.
Mohd. Faizal berkata, nelayan turut berdepan risiko dituduh melakukan kesalahan seperti menyeludup, sekiranya membawa lebihan bahan api melebihi kuota ditetapkan, walaupun ia merupakan keperluan operasi sebenar.
“Nelayan jadi serba salah. Kalau bawa lebih minyak untuk kegunaan trip yang panjang, mereka risau dianggap melakukan kesalahan atau disyaki menyeludup, sedangkan itu memang keperluan kerja mereka,” katanya. – UTUSAN










