Kapal Perancis, Jepun tembus sekatan Selat Hormuz

Kapal Perancis, Jepun tembus sekatan Selat Hormuz

GAMBAR fail menunjukkan beberapa bot mengiringi kapal tangki ketika latihan ketenteraan oleh Pengawal Revolusi Iran (IRGC) di Selat Hormuz.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Kapal kontena milik Perancis dan Jepun dilaporkan berjaya merentasi Selat Hormuz, sekali gus menandakan transit pertama seumpamanya sejak peperangan di Iran melumpuhkan laluan kritikal berkenaan.

Kapal kontena CMA CGM Kribi dikesan keluar dari selat itu pada Jumaat, menurut data penjejakan kapal yang disusun Bloomberg.

Ia merupakan kapal pertama mempunyai kaitan dengan Eropah Barat yang diketahui berjaya melepasi laluan tersebut sejak konflik bermula lebih sebulan lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat perkapalan Jepun, Mitsui OSK Lines, turut mengesahkan kapal tangki gas asli cecair (LNG) miliknya juga membuat lintasan yang sama kelmarin.

Trafik di Selat Hormuz hampir terhenti sepenuhnya sejak serangan dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran, dengan hanya sebilangan kecil kapal yang mampu membuat lintasan.

Sebelum ini, kebanyakan kapal yang berjaya melepasi laluan tersebut mempunyai kaitan dengan negara mesra Teheran melalui sistem pra kelulusan khas.

Sebelum ini, Perancis dan Jepun menggesa gencatan senjata dilakukan awal minggu ini.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron juga lantang menyuarakan keperluan untuk membuka semula selat tersebut, namun menegaskan ia hanya boleh berlaku sekiranya serangan bom dihentikan.

Menurut Bloomberg, di bawah sistem yang diperkenalkan Iran sejak beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa kapal dilaporkan terpaksa membayar yuran transit kepada Teheran untuk melalui laluan tersebut.

Jurucakap Mitsui OSK bagaimanapun enggan mengulas sama ada kapal tangki Sohar LNG milik mereka ada membuat bayaran tersebut atau pun tidak.

Manakala pemilik kapal Perancis, CMA CGM serta kementerian berkaitan di Perancis juga enggan memberikan sebarang komen lanjut.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×