Pengurus positif dadah, empat pengawal keselamatan tiada permit dicekup

Pengurus positif dadah, empat pengawal keselamatan tiada permit dicekup

PONDOK keselamatan yang menjadi lokasi empat pengawal warga asing ditahan kerana tiada dokumen sah di sebuah taman perumahan kawasan Mutiara Rini, Skudai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pengurus dan empat pengawal keselamatan warga asing yang tidak mempunyai permit kerja ditahan di sebuah taman perumahan kawasan Mutiara Rini, Skudai, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, tangkapan bermula apabila sepasukan anggota polis menjalankan pemeriksaan di pondok keselamatan di taman perumahan itu kira-kira pukul 11.30 pagi.

Katanya, pihaknya menahan dua pengawal keselamatan warga Pakistan berusia 29 dan 34 tahun setelah mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit pengawal keselamatan yang sah. 

“Susulan itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun yang merupakan pengurus kepada dua pengawal keselamatan tersebut di lokasi yang sama kerana telah melanggar syarat lesen agensi persendirian dan menggajikan pekerja warga asing tanpa permit.

“Kesemua mereka turut menjalani ujian saringan air kencing dan hasilnya pengurus kepada pengawal keselamatan itu positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, semakan mendapati pengurus warga tempatan tersebut juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau bersabit kes dadah.

Katanya, susulan tangkapan tersebut, pada 11.30 malam hari yang sama, sepasukan anggota IPD Iskandar Puteri membuat tangkapan kedua melibatkan dua lagi pengawal keselamatan asing iaitu warga India dan Pakistan.

Tambahnya, kedua-dua pengawal keselamatan yang berusia 28 dan 23 tahun itu juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan ditangkap semasa berada di pondok pengawal keselamatan taman tersebut.

“Polis turut merampas empat helai baju pengawal keselamatan berwarna putih yang dipakai tertera logo dan tulisan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PKIM).

“Mana-mana pihak yang mahu melantik pengawal keselamatan dinasihatkan agar memilih syarikat kawalan keselamatan yang menepati syarat dan merujuk kepada Pekeliling Agensi Persendirian Bilangan (4) Tahun 2010,” katanya.

Dzulkhairi berkata, syarikat perlu mematuhi syarat kuota pengawal keselamatan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri iaitu mesti warga tempatan atau Nepal selain mempunyai semua dokumen lengkap.

Sementara itu, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya; Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen; Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 14 Akta Agensi Persendirian 1971. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya