Industri pengangkutan perlu beralih kepada trak EV menjelang 2050

Industri pengangkutan perlu beralih kepada trak EV menjelang 2050

ANTHONY Loke Siew Fook ketika hadir merasmikan Malaysia Commercial Vehicle Expo (MCVE) 2026, di sini, hari ini. UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kerajaan menggesa pemain industri pengangkutan komersial supaya mula beralih kepada penggunaan trak elektrik (EV) secara berperingkat walaupun kos pelaburan awal masih tinggi, selaras usaha mencapai sasaran sifar karbon negara menjelang 2050.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penggunaan trak EV di Malaysia ketika ini masih rendah, namun langkah tersebut penting bagi mengurangkan kebergantungan terhadap diesel bersubsidi selain memperkukuh agenda kelestarian negara.

Katanya, kerajaan kini menanggung perbelanjaan sekitar RM2.5 bilion sebulan bagi subsidi diesel dan jumlah itu memberi tekanan besar terhadap kedudukan fiskal negara.

“Kerajaan kini membelanjakan kira-kira RM2.5 bilion sebulan hanya untuk subsidi diesel dan jumlah itu amat besar serta memberi tekanan kepada kedudukan fiskal negara,” katanya dalam ucapan pada Pameran Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2026 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) di sini. 

Menurut Anthony, kerajaan sedang meneliti pelbagai bentuk insentif bagi mempercepatkan penggunaan EV dalam sektor pengangkutan komersial, termasuk pembangunan infrastruktur pengecasan dan kemudahan sokongan untuk syarikat pengangkutan.

“Selain itu, saya turut menggesa industri meningkatkan penggunaan kenderaan yang lebih cekap bahan api serta memenuhi piawaian pelepasan lebih baik sebagai sebahagian daripada agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya. 

Dalam pada itu, Anthony berkata, antara cabaran terbesar dalam usaha memperluaskan penggunaan trak EV ialah kekurangan stesen pengecasan yang sesuai untuk kenderaan berat.

“Kalau kita mahu galakkan penggunaan trak EV, kita mesti ada ekosistem yang lengkap terutama dari segi stesen pengecasan. Itu cabaran paling besar ketika ini,” katanya.

Menurut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jumlah EV trak yang sedang beroperasi di Malaysia masih kurang daripada 10 unit dan kebanyakannya digunakan sebagai projek perintis oleh syarikat pengangkutan.

Walaupun beberapa pengeluar dari Eropah dan China sudah menawarkan model EV trak, penggunaannya di Malaysia masih belum menjadi arus perdana.

Sebelum ini fokus kerajaan lebih tertumpu kepada EV bagi kenderaan persendirian, namun kini perhatian mula diberikan kepada sektor komersial.

Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang memperkukuhkan agenda penggunaan EV dalam sektor logistik dan pengangkutan berat bagi menyokong sasaran pelepasan karbon sifar bersih negara menjelang 2050.

MCVE menghimpunkan pelbagai syarikat pengangkutan, pengeluar kenderaan serta penyedia teknologi untuk membincangkan inovasi dan hala tuju masa depan industri kenderaan komersial di rantau ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN