PETALING JAYA: Kerajaan memberi tumpuan terhadap kecukupan bekalan tenaga dan air bagi menyokong pertumbuhan industri pusat data yang berkembang pesat susulan peningkatan pelaburan digital dan kecerdasan buatan (AI) di negara ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, perkara itu antara isu utama yang dibincangkan di peringkat persekutuan dan negeri bagi memastikan pembangunan pusat data dilaksanakan secara mampan serta mematuhi aspek tadbir urus.
“Perbincangan ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta Pasukan Petugas Pusat Data yang dipengerusikan bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
“Kami melihat aspek kecukupan bekalan tenaga termasuk perbincangan mengenai sumber tenaga alternatif.
“Begitu juga dari sudut bekalan air dan kesiapsiagaan negara menghadapi keperluan teknologi generasi baharu pada masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pusat Data KL1 Kuala Lumpur NEXTDC di sini.
Beliau berkata, kerajaan turut meneliti keupayaan kapasiti pengkomputeran (compute) negara bagi memenuhi peningkatan permintaan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kerajaan negeri juga memainkan peranan penting terutama melibatkan isu bekalan air serta kelulusan pihak berkuasa tempatan berkaitan pembangunan pusat data.
“Perbincangan sedang berjalan dengan baik dan kerajaan menerima pelbagai maklum balas daripada pihak berkepentingan.
“Kementerian Digital juga mahu membangunkan tadbir urus melibatkan pusat data dan teknologi generasi baharu sebagai persediaan negara bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Negara perlu mula membuat persediaan dari sekarang termasuk memastikan kita mempunyai bakat mencukupi untuk peluang pekerjaan baharu yang bakal diwujudkan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan turut memberi perhatian terhadap pembangunan bakat digital menerusi program peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi memenuhi peluang pekerjaan baharu dalam sektor teknologi. – UTUSAN










