Harga ubat stabil, pengeluar serap kenaikan kos

Harga ubat stabil, pengeluar serap kenaikan kos

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Harga ubat-ubatan di negara ini dijangka kekal stabil susulan keputusan syarikat pengeluar dan pembekal ubat-ubatan yang menyerap kenaikan kos operasi khususnya melibatkan bahan api.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, keadaan itu boleh memastikan harga ubat kekal dalam julat harga yang tidak naik mendadak.

“Mereka serap atau menanggung kos yang terkait dengan penggunaan diesel. Jika ada kenaikan pun, hanya kenaikan biasa satu atau dua peratus sahaja. Kita mengharapkan harga akan kekal sebegini,” katanya ditemui pada majlis perasmian Hospital Seri Iskandar di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sebelum ini dilaporkan bahawa harga ubat-ubatan di negara ini berisiko meningkat berikutan kenaikan kos logistik, pengangkutan dan bahan api susulan konflik perang di Asia Barat.

Dzulkefly berkata, beliau memberikan perhatian tinggi terhadap isu berkenaan, lebih-lebih lagi kementerian mempunyai pasukan yang terdiri daripada komuniti kesihatan termasuk pemain industri, pengeluar dan pembekal ubat.

“Kami tidak mahu ada pihak yang tergendala khususnya untuk mendapatkan ubat-ubatan yang kritikal seperti berkaitan jantung,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, kementerian mengambil langkah penguatkuasaan ekoran penularan penyalahgunaan dadah jenis furanylfentanyl atau dikenali dadah ‘zombi’ menerusi penggunaan vape.

Katanya, tumpuan diberikan terhadap penggunaan vape dalam sistem terbuka seperti penggunaan botol atau pod khususnya melibatkan amalan mencampurkan bahan terlarang.

“Justeru kita mengambil sikap untuk pertamanya penguatkuasaan dan dalam waktu terdekat kita membuat pengumuman tertentu tentang langkah-langkah yang kita akan ambil. Kita bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri, Polis dan Kastam Malaysia,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan dadah ‘zombi’ dipercayai 50 ke 100 kali lebih kuat daripada morfin didakwa dijual dalam pasaran rokok elektronik atau vape secara terbuka kepada pelanggan tetap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN