PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi gambaran hala tuju politik yang akan diumumkan beliau pada Ahad ini bakal mencetuskan pelbagai spekulasi politik.
Bagaimanapun, bekas Menteri Ekonomi itu enggan memperincikan perkara itu ketika ini dan masih berteka-teki.
Menurutnya, pengumuman yang akan dibuat bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Ahad ini bukan satu pengumuman biasa.
“Pengumuman itu dijangka mempunyai makna lebih besar. Kalau setakat pengumuman biasa, saya boleh buat di TikTok saja. Pengumuman ini luar biasa,” katanya ketika ditemui sejurus selesai memberi keterangan secara sukarela di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM), di sini hari ini.
Sebelum ini, Rafizi memaklumkan akan mengumumkan hala tuju baharu politiknya bersama Nik Nazmi dalam satu majlis di Petaling Jaya, Selangor pada Ahad ini.
Pengumuman itu bakal menamatkan spekulasi selain menetapkan hala tuju serta destinasi politik baharu bekas Timbalan Presiden PKR itu dalam arena politik tanah air.
Rafizi telah meletakkan jawatannya sebagai menteri berkuat kuasa 17 Jun tahun lalu manakala, Nik Nazmi pula mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada hari sama.
Ditanya mengenai desas-desus kononnya beliau dan Nik Nazmi akan meninggalkan PKR, Rafizi enggan mengulas lanjut dan ia terpulang kepada telahan segelintir pihak.
“Memang menjadi satu kelebihan kepada ahli politik seperti saya untuk memastikan orang ramai dan pihak media terus tertanya-tanya sehingga hari Ahad.
“Jadi kemahirannya ialah memastikan orang ramai terus membuat andaian dan berspekulasi,” katanya.
Ditanya sama ada ada tokoh politik lain yang bakal mengikuti jejak beliau, Rafizi berkata, perkara itu akan dijawab Ahad ini termasuk pelawaan gabungan parti politik lain.
“Kalau sebut sekarang tak ‘suspend’ la. Kita tunggu dahulu pengumuman sebab kita tidak boleh bercakap tentang gabungan atau apa-apa selagi belum tahu dengan jelas apa sebenarnya dirancangkan,” katanya.
Terdahulu, Rafizi meluangkan lebih dua jam memberi keterangan tambahan selain menyerahkan dokumen kepada SPRM berhubung siasatan perjanjian pelaburan bernilai RM1.1 bilion antara Kementerian Ekonomi dan Arm Holdings Inc (ARM).
Setakat ini, SPRM telah memanggil 22 orang saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan. – UTUSAN










