Seramai 1,500 penduduk tiga kampung bantah roboh surau

1,500 penduduk tiga kampung bantah roboh surau

HAMIDAH Osman (tengah) bersama ahli kariah Surau Al Karamah yang bakal diroboh di Ipoh, Perak, semalam. – FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kira-kira 1,500 penduduk di tiga buah kampung iaitu Kampung Sri Keramat, Kampung Sri Murni dan Kampung Tok Chendang di sini bakal hilang tempat beribadah apabila Surau Al Karamah bakal dirobohkan tidak lama lagi.

Surau yang terletak di Kampung Sri Keramat dekat Pasir Puteh di sini, dibina oleh pene­roka awal perkampungan Melayu di situ sejak 37 tahun lalu menjadi tumpuan penduduk­nya dengan pelbagai aktiviti ke­agamaan terutamanya dalam bulan Ramadan.

Pengerusi Kariah Surau Al Kara­mah, Abdul Wahab Abdul Rashid berkata, surau itu akan dirobohkan berikutan tanah tapaknya te­lah diambil alih oleh sebuah syarikat pemaju perumahan.

Katanya, beliau bersama ahli-ahli kariah tidak pernah bersetuju dengan keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang berbincang de­ngan pemaju tanpa menda­patkan pandangan penduduk.

Katanya, perkara tersebut te­lah diputuskan oleh MAIPk pada jawatankuasa surau berkenaan di dalam surat pada 16 November tahun lalu dengan jaminan pihak pemaju akan menanggung pembinaan surau baharu.

“Rancangan untuk membangunkan projek kediaman di kawasan ini telah lama iaitu sejak tahun 2002, sebab itu kami kecewa mengapa kedudukan surau ini tidak dimasukkan di dalam pelan rancangan tersebut agar tidak diganggu.

“Pihak MAIPk serta pihak Pentadbir Tanah Daerah Kinta sepatutnya membela kedudukan surau yang menjadi tempat ibadat penduduk di tiga kampung di sini,” katanya pada sidang akhbar berhubung isu rumah penduduk dan surau yang akan dirobohkan di Kampung Tok Chendang di sini.

Tiga buah perkampungan ini diteroka oleh penduduk setinggan Melayu Ipoh pada tahun 1979 sebelum menerima kemudahan asas daripada kerajaan negeri semasa era pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Moha­mad Tajol Rosli Ghazali.

Kerajaan negeri pada tahun 2002 meluluskan cadangan pindah milik tanah kerajaan di kawasan tersebut seluas 105 ekar bagi projek perumahan dan pembangunan bercampur kepa­da sebuah syarikat pemaju.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, MAIPk sepatutnya mempertahankan surau tersebut serta mengambil kira kepentingan penduduk yang telah bermastautin di perkampungan itu lebih lama.

Katanya, adalah sangat menyedihkan jika surau berkenaan dirobohkan tambahan pula semasa umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan.

“Mengikut arahan, pemaju akan melakukan perobohan pada pukul 9 pagi, 26 April ini. Putra tetap mendesak pihak berkuasa terutamanya MAIPk melihat semula keputusan tersebut.

“Putra akan menggunakan saluran yang ada untuk mempertahankan surau ini dan kita akan hadir pada tarikh tersebut untuk berhadapan dengan pihak pemaju,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya