KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu berada di titik paling kritikal dan tahap paling bawah dalam sejarah perjuangannya di negeri ini selepas menempah kekalahan besar pada pilihan raya lalu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, realiti pahit itu perlu diterima seluruh kepemimpinan parti itu sebagai medan muhasabah untuk membina semula kekuatan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Kata beliau, semua pemimpin di peringkat bahagian serta Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu akur dengan strategi yang dirangka dan tidak lagi bergerak mengikut cara lama.
“Kita sudah berikan satu DUN apa yang perlu dibuat, ikut sahaja. Jangan keras kepala. Bagaimana hendak rampas dan bangkit balik jika kita masih dibayangi keputusan lepas (40-0).
“Tuan-tuan akan lalui perjalanan yang lebih sukar daripada yang dilalui sebelum ini,” katanya ketika menyampaikan Amanat Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri kepada kepimpinan Bahagian dan Pengerusi Penyelaras DUN sempena sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-80 peringkat negeri di sini, hari ini.
Rozi berkata, UMNO tidak lagi boleh menafikan kelebihan pihak lawan yang berjaya menguasai naratif politik ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Sehubungan itu, katanya, UMNO Terengganu perlu melakukan perubahan menyeluruh melalui pendekatan baharu yang lebih dekat dengan rakyat dan tidak lagi hanya bergantung kepada retorik politik.
Beliau turut menggariskan empat intipati utama di bawah slogan Kita Melangkah Untuk Berubah yang perlu diterjemahkan melalui tindakan segera di semua peringkat parti.
Menurutnya, aspek pertama ialah membawa dimensi politik baharu dengan menampilkan kepimpinan yang mampu menyelesaikan masalah rakyat.
“Jangan sekadar cakap berapi di pentas tetapi rakyat tidak nampak hasil. Kita mesti jadi penyelesai masalah, bukan pengulas,” katanya.
Beliau berkata, UMNO juga perlu memberi fokus kepada isu sebenar yang dihadapi rakyat termasuk ketiadaan bantuan kebajikan kerajaan negeri, peningkatan bayaran urusan tanah sehingga 200 peratus serta isu parkir pihak berkuasa tempatan (PBT).
Selain itu, katanya, isu peluang pekerjaan untuk golongan muda perlu diberikan perhatian serius kerana rakyat masih membandingkan keadaan semasa dengan era pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini berjaya membawa masuk pelabur ke Terengganu. – UTUSAN










