Geng joging, golf antara 48 positif Covid-19 gara-gara rentas negeri 

Geng joging, golf antara 48 positif Covid-19 gara-gara rentas negeri 

DR. NOR AZIMI YUNUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 48 individu disahkan positif Covid-19 susulan tercetusnya Kluster Bukit Bayas yang berpunca akibat aktiviti rentas negeri, Isnin lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, sehingga kini hampir 1,000 kontak rapat berjaya dikesan melibatkan lima daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Hulu Terengganu dan Dungun.

“Bermula daripada kontak rapat famili akhirnya menjangkiti rakan kerja dan kenalan sosial, malah geng joging dan bermain golf pun turut dijangkiti, jadi jangan pandang ringan kebolehjangkitan Covid-19.

“Lihat besarnya kawalan yang perlu dibuat tetapi selagi mampu kami akan terus melakukan aktiviti membendung wabak kerana tidak mahu Kluster Kebor Air yang mengambil masa lama untuk surut berulang,” katanya dalam kenyataan dalam laman Facebook hari ini.

Kluster Bukit Bayas yang direkodkan sejak 8 Mac lalu merupakan kluster komuniti melibatkan daerah Kuala Terengganu di samping Johor Bahru di Johor dan Petaling (Selangor) dengan kes indeks merupakan seorang wanita warganegara berusia 28 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 3 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala.

Sabtu lalu, Nor Azimi berkata, aktiviti merentas negeri kerana menghadiri pengebumian datuk menyebabkan 15 individu disahkan positif Covid-19 dengan melibatkan beberapa keluarga dari Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang pulang ke kampung halaman di Terengganu.

Sementara itu, menurur Nor Azimi, kalangan petugas kesihatan berhempas-pulas mengesan kes dan memberi rawatan setiap kali kluster baharu muncul, bahkan tugasan itu turut dilakukan dengan kadar yang pantas.

Katanya, penularan Kluster Bukit Bayas yang berpunca akibat rentas negeri menyebabkan pihaknya keberatan untuk membenarkan aktiviti berkenaan buat masa ini kerana kesan yang cukup besar kepada petugas kesihatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN