JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga Vietnam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini selepas disyaki cuba merasuah seorang pegawai polis RM29,600.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, suspek cuba memberikan rasuah kepada seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden.
Jelas kenyataan itu, suapan berkenaan dibuat bagi melepaskan seorang rakannya yang ditahan polis kerana kesalahan memiliki minuman keras yang tidak bercukai.
“Rakannya turut disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1962.
“Suspek yang berusia 25 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor pagi tadi bagi membantu siasatan,” tambah kenyataan itu.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000.00 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. – UTUSAN ONLINE










