KUALA LUMPUR – Kerajaan menggariskan tujuh inisiatif utama bagi memperkasakan sektor pertanian yang diunjurkan terus berkembang pada 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun hadapan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, untuk tujuan itu kerajaan akan mengadakan peluasan program kebun komuniti kepada separa bandar dan luar bandar dengan peruntukan berjumlah RM30 juta.
Katanya, program itu menyediakan peralatan seperti kit fertigasi dan media tanaman bernilai sehingga RM500 setiap individu atau RM50,000 setiap komuniti yang bakal memanfaatkan 60,000 peserta.
“Pelaksanaan projek pertanian organik juga diadakan di peringkat komuniti dengan peruntukan RM50 juta dijangka memanfaatkan 1,000 komuniti,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Selain itu, menurut Tengku Zafrul, kerajaan juga akan melaksanakan program ladang e-staelit dengan peruntukan RM10 juta secara geran padanan sehingga RM30,000 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan, PPK bagi tujuan pembelian peralatan pertanian berasaskan Internet of Things termasuk dron.
Jelas beliau, program itu dijangka memanfaatkan lebih 300 PPK dengan keahlian hampir 1 juta petani dan peladang.
Beliau berkata, belanjawan kali ini juga memperuntukkan RM150 juta di bawah program pemodenan vessel dan mekanisasi tangkapan sehingga 5 juta ringgit pada kadar 3.5 peratus bagi tempoh 10 tahun kepada nelayan zon A dan B untuk menaik taraf peralatan, pukat dan bot melalui Agrobank.
“Selain itu, pembiayaan RM60 juta juga disediakan di bawah Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan sehingga 1 juta ringgit pada kadar 3.5 peratus bagi tempoh 10 tahun kepada pengusaha pertanian untuk perolehan peralatan dan teknologi berteraskan IR4.0. Bagi tujuan ini sebanyak 60 juta ringgit disediakan Agrobank,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul memberitahu, bagi pelaksanaan program pembangunan akuakultur sebanyak RM10 juta secara geran padanan sehingga RM20,000 diperuntukkan kepada pengusaha mikro.
Beliau berkata, RM100 juta untuk pelaksanaan projek pertanian dan penternakan berimpak dan bernilai tinggi melalui kerjasama dengan kerajaan Negeri seperti projek tanaman nanas di Johor dan ternakan udang galah di Negeri Sembilan. – UTUSAN ONLINE










