Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024 diperkenal - Utusan Malaysia

Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024 diperkenal

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara memperkenalkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024 merangkumi 12 strategi, 35 pelan tindakan dan 113 program.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, strategi berkenaan akan menjadi teras kepada mekanisme strategi keselamatan siber sebagai tanda kesiapsiagaan negara terhadap apa jua bentuk serangan siber.

Perdana Menteri berkata, bagi tujuan itu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion bagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang terkandung di bawah strategi itu bertujuan untuk menyelaraskan pelaksanaan strategi pengurusan ancaman siber. 

“Pendekatan yang berbentuk pertahanan siber aktif (active cyber defence) ini adalah hasil kerjasama di antara beberapa kementerian termasuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) yang telah diberi tanggungjawab dari segi penggubalan, pelaksanaan, pemantauan dan penyelarasan dasar keselamatan siber. 

“Saya yakin usaha dan tindakan agresif kerajaan yang menyeluruh ini dapat mengukuhkan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan sekali gus memastikan negara kita bebas daripada ancaman keselamatan siber yang dilihat masih berleluasa pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bersempena pelancaran strategi itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur hari ini.

Perdana Menteri berkata, strategi tersebut adalah bersandarkan kepada lima tonggak utama iaitu pertama, mempertingkatkan keberkesanan pengurusan tadbir urus dan keselamatan siber negara. 

Katanya, ini termasuk penambahbaikan infrastruktur ICT kritikal negara selain meningkatkan keupayaan negara untuk menangani isu keselamatan siber secara efektif. 

Dalam hal ini, kata Perdana Menteri, sebuah Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara akan ditubuhkan yang akan dipengerusikan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Tonggak kedua ialah memperkukuh penguatkuasaan jenayah siber dan perundangan yang sedia ada. Kerajaan bersedia untuk meneliti semula undang-undang yang relevan mengenai jenayah siber dan sebuah undang-undang khusus mengenai keselamatan siber bakal digubal.

“Ketiga, pemerkasaan inovasi dan teknologi bertaraf dunia dalam bidang keselamatan siber serta mempergiat penyelidikan dan pembangunan oleh industri tempatan melalui kerjasama semua pihak,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, tonggak keempat strategi itu ialah mempertingkatkan pembangunan kapasiti dan keupayaan tenaga mahir serta meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan siber yang bertujuan untuk memastikan ekosistem siber negara kekal selamat. 

Kata beliau, sesi libat urus dan kempen kesedaran akan terus dilaksanakan.

Bagi tonggak kelima pula, kata Perdana Menteri, kerjasama antarabangsa dan serantau akan terus dipergiat bagi melindungi ruang siber negara.

“Dengan bersandarkan lima tonggak utama ini, saya ingin menyeru semua pihak yang terlibat untuk mendukung usaha kerajaan dalam memastikan agenda keselamatan siber negara dapat dilaksanakan.

“Semua pihak perlulah bekerjasama dengan NACSA yang juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi libat urus bersama masyarakat setempat untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang keselamatan siber,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya