Rahma Hammad trauma dua kali lalui tragedi Nakba

Rahma Hammad trauma dua kali lalui tragedi Nakba

RAHMA Hammad kini tinggal bersendirian di sebuah bilik kecil yang disediakan untuk penduduk dipindahkan dari kem pelarian Jenin. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENANGAN kehilangan kampung halaman pada 1948 tidak pernah luput daripada ingatan Rahma Abdul Razzaq Hammad, 83.

Lebih tujuh dekad kemudian, wanita Palestin itu sekali lagi terpaksa meninggalkan rumahnya di kem pelarian Jenin demi menyelamatkan diri daripada operasi ketenteraan Israel.

Dia tidak pernah menyangka akan melalui tragedi Nakba sebanyak dua kali, selepas kali pertama tentera Israel mengusir keluarganya dari kampung al-Sindiyana berhampiran Haifa dan sekali lagi selepas 78 tahun kemudian.

Dari sebuah bilik kecil di bandar Zababdeh, tenggara Jenin, Rahma mengimbau dua episod perpindahan yang dipisahkan oleh puluhan tahun namun terikat dengan ketakutan dan kehilangan keluarga yang sama.

Bercakap kepada agensi berita Anadolu sempena ulang tahun ke-78 peristiwa Nakba, Rahma berkata, hidupnya terasa seperti dejavu meskipun pengusiran pertama berlaku sewaktu usianya masih kecil.

Katanya, penderitaan itu bermula di al-Sindiyana dan masih belum berakhir ketika keluarga Palestin terus dipindahkan dari kem pelarian Jenin.

Tentera Israel meneruskan operasi ketenteraan di utara Tebing Barat sejak 21 Januari 2025, bermula di kem pelarian Jenin sebelum diperluaskan ke kem Tulkarm dan Nur Shams, menyebabkan ratusan rumah musnah dan lebih 50,000 rakyat Palestin hilang tempat tinggal.

Nakba yang bermaksud malapetaka dalam bahasa Arab, merujuk kepada peristiwa pengisytiharan penubuhan Israel di sebahagian besar tanah Palestin pada 15 Mei 1948, selepas rejim Zionis melakukan pembunuhan beramai-ramai dan mengusir rakyat Palestin dari kediaman mereka.

Rakyat Palestin memperingati Nakba pada setiap 15 Mei menerusi perarakan, acara dan pameran di wilayah Palestin serta di seluruh dunia bagi menuntut hak mereka, termasuk hak pulang berjuta-juta pelarian.

HIDUP PINDAH-RANDAH

Rahma berkata, keluarganya berasal dari al-Sindiyana, sebuah kampung berhampiran Haifa, yang mereka tinggalkan ketika peristiwa Nakba 1948, sewaktu usianya belum pun mencecah lima tahun.

Dia mengimbau detik perpindahan pertama itu apabila keluarganya berjalan kaki meninggalkan kampung dalam keadaan penuh ketakutan dan huru-hara, berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain sebelum tiba di kem pelarian Jenin.

Katanya, selepas diusir, keluarganya berpindah-randah sebelum menetap di khemah di kawasan Janzour di selatan Jenin, manakala keluarga Palestin lain pula berpecah dan berlindung di pelbagai lokasi.

SEORANG lelaki Palestin membawa barangnya ketika meninggalkan rumah semasa serbuan tentera Israel di pinggir kem pelarian Jenin di Tebing Barat yang diduduki. – AFP

Walaupun puluhan tahun berlalu, kenangan terhadap kampung halamannya masih segar dalam ingatan. Selepas perang 1967, beliau berpeluang kembali melawat kampung itu buat pertama kali sejak dipindahkan.

“Selepas 1967, kami dapat masuk dan melawat kampung itu. Sebaik turun dari kereta, saya memetik tiga helai daun keladi liar dari tanah. Ketika itu, saya rasa seolah-olah seluruh kampung berada dalam genggaman tangan saya,” katanya.

Namun lawatan itu tidak bertahan lama apabila seorang tentera Israel mengarahkan mereka meninggalkan kawasan tersebut.

“Kami beritahu dia, ‘Ini kampung kami dan kami datang untuk melihatnya selepas bertahun-tahun lamanya,’ tetapi dia memaksa kami membuang daun itu dan pergi,” katanya.

OPERASI KETENTERAAN

Selepas bertahun berpindah-randah, Rahma dan keluarga akhirnya menetap di kem pelarian Jenin, tempat dia membina rumah dan tinggal berdekatan anak serta cucu. Dia menganggap kem itu sebagai ‘tanah air sementara’ selepas kehilangan kampung asalnya.

“Kami bekerja keras untuk membina kehidupan di kem itu. Kami membina rumah dan hidup bersama anak-anak serta cucu-cucu, dan kami fikir akhirnya kami sudah benar-benar menetap,” katanya.

Namun kestabilan itu musnah apabila Israel melancarkan operasi ketenteraan di kem pelarian Jenin pada Januari 2025, yang menyebabkan perpindahan besar-besaran serta kerosakan teruk terhadap infrastruktur dan rumah penduduk, katanya.

“Kami sangka Nakba sudah berakhir, tetapi kami terpaksa melalui Nakba baharu,” katanya.

Hammad menyifatkan hari-hari awal operasi ketenteraan itu sebagai paling sukar, apabila keluarga terpaksa melarikan diri dari rumah berulang kali.

“Kami mendukung anak-anak ketika mereka tidur,” katanya.

Kini, Rahma tinggal bersendirian di sebuah bilik kecil yang disediakan untuk penduduk dari kem pelarian Jenin. Anak-anaknya pula terpisah dan tinggal di kawasan berlainan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN