Perkara 150: UMNO Johor minta penjelasan Persekutuan - Utusan Malaysia

Perkara 150: UMNO Johor minta penjelasan Persekutuan

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UMNO Johor meminta penjelasan Kerajaan Pusat berhubung penggunaan peruntukan artikel Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan iaitu berkaitan pengisytiharan darurat.

Pengerusinya, Datuk Hasni Mohammad berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Perhubungan UMNO negeri hari ini dengan mengambil kira pandangan semua pemimpin bahagian.

“Apa diputuskan dalam mesyuarat kita hari ini terhadap keperluan penggunaan Perkara 150 yang perlu dijelaskan kepada semua rakyat.

“Sekarang penjelasan tidak menyeluruh dan tidak jelas setakat ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipercayai berkaitan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan iaitu berkaitan pengisytiharan darurat.

Hasni yang juga Menteri Besar menjelaskan, kerajaan negeri bagaimanapun tidak mempunyai kuasa untuk menidakkan keputusan diputuskan Yang di-Pertuan Agong atau Parlimen dan pihaknya akur dengan ketetapan bakal dibuat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, UMNO Johor memutuskan bahawa pihaknya tidak bersetuju sekiranya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan selagi pandemik Covid-19 belum selesai dan ekonomi masih dalam keadaan lembap.

Beliau berkata, sekiranya Dewan Rakyat terbubar, UMNO berpendapat bahawa kerajaan negeri perlu menasihatkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tentang keadaan dan kesiapsiagaan berkaitan keputusan pembubaran Parlimen.

“Jadi untuk saya mengatakan bahawa kita juga membubar DUN itu adalah tertakluk kepada bila dan dalam keadaan mana Dewan Rakyat itu terbubar,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan, UMNO Johor akan menjalankan kajian terperinci untuk mendapatkan gambaran sokongan sebenar rakyat.

Tegasnya, parti tidak akan berkompromi terhadap prestasi semua wakil rakyatnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya