PHILADELPHIA: Bintang sensasi Perancis, Kylian Mbappe menyifatkan skuad Les Bleus kali ini sebagai lebih berorientasikan serangan berbanding pasukan pada dua edisi Piala Dunia yang lalu.
Perancis memulakan kempen Kumpulan I dengan kemenangan 3-1 ke atas Senegal hasil kebangkitan di separuh masa kedua, dengan Mbappe meledak dua gol manakala Michael Olise mencuri tumpuan menerusi persembahan bertenaga yang menghidupkan jentera serangan pasukan.
Menurut Mbappe, kombinasi pemain muda dan berpengalaman dalam skuad kali ini memberikan kelebihan besar dari segi kreativiti dan kekuatan di bahagian serangan.
“Ini adalah pasukan yang lebih menyerang berbanding 2018 dan 2022, pasukan yang jauh lebih cenderung untuk bermain ke hadapan.
“Separuh masa kedua sudah memberi gambaran tentang apa yang boleh kami lakukan apabila kami berada dalam keadaan teknikal yang baik,” kata Mbappe kepada wartawan.
Kapten Perancis itu turut menegaskan bahawa persefahaman antara dirinya, Michael Olise, Ousmane Dembele dan Desire Doue semakin baik dan mampu menjadi ancaman besar kepada pasukan lawan.
“Kami mempunyai hubungan baik dengan Michael kerana kami berempat di bahagian serangan berjaya bergerak dengan sangat selaras dari segi pergerakan, posisi dan pertukaran peranan.
“Dengan pergerakan dan pertukaran seperti ini, mungkin esok giliran dua lagi pemain serangan lain yang akan menyerlah lebih banyak.
“Kelebihan pasukan ini ialah memiliki begitu banyak bakat. Kami sangat sedar tentang kualiti yang kami ada di barisan hadapan,” katanya.
Kapten Perancis itu juga menolak dakwaan bahawa pemenang Ballon d’Or, Dembele tidak menunjukkan prestasi terbaik ketika menentang Senegal.
“Pada separuh masa pertama, dia adalah penyerang terbaik antara kami berempat. Dialah yang paling melancarkan permainan kami.
“Kemudian pada separuh masa kedua, Michael dan saya menjadi penentu, tetapi Ousmane juga menyumbang,” katanya. – AGENSI










