MANCHESTER: Kapten Manchester City, Bernardo Silva mengakui pasukannya masih menyimpan sedikit impian untuk memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menjuarai Piala FA dengan menewaskan Chelsea 1-0 di Wembley, semalam.
Gol tunggal Antoine Semenyo pada minit ke-72 sudah cukup untuk menghadiahkan trofi kedua domestik buat City musim ini selepas mereka turut memenangi Piala Liga pada Mac lalu.
Semenyo memanfaatkan hantaran Erling Haaland sebelum melakukan penyudah menarik menggunakan kaki kanan untuk menewaskan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez.
Silva yang bakal meninggalkan City pada penghujung musim berkata, kejayaan itu cukup bermakna buat dirinya selepas hampir sedekad bersama kelab tersebut.
“Ini sangat istimewa buat saya. Segala perjalanan saya bersama Manchester City sangat hebat.
“Kami masih mempunyai sedikit impian untuk terus bersaing merebut kejuaraan EPL. Hari ini (semalam) kami gembira kerana dapat menghadiahkan satu lagi trofi kepada kelab,” katanya.
City ketika ini hanya dibezakan dua mata di belakang pendahulu liga, Arsenal dengan saingan EPL berbaki dua perlawanan.
Dalam pada itu, pemain tengah Portugal berusia 31 tahun itu turut memuji pengaruh pengendali City, Pep Guardiola yang dianggap banyak mengubah corak pemikirannya terhadap bola sepak.
“Sebahagian besar karier saya bersama beliau sebagai pengurus. Semua kejayaan yang saya impikan dicapai bersama Guardiola.
“Hubungan kami sangat kuat sama ada ketika melalui kekecewaan atau kejayaan,” katanya.
Sementara itu, Semenyo yang menyertai City dari Bournemouth pada Januari lalu mengakui masih sukar mempercayai dirinya kini beraksi bersama kelab gergasi England.
“Saya tidak pernah bersaing untuk trofi sebesar ini sebelum ini. Semuanya masih terasa baharu buat saya.
“Sejak kecil saya mahu bermain untuk pasukan besar. Ia mengambil masa yang lama, tetapi saya bersyukur kerana berjaya sampai ke tahap ini,” katanya.
Menurut Semenyo, Guardiola turut memberi kebebasan kepadanya untuk terus bermain mengikut identiti sendiri walaupun City terkenal dengan corak permainan berdisiplin.
“Perkara pertama yang Guardiola cakap kepada saya ialah jangan ubah permainan saya. Dia mahu saya terus menjadi diri sendiri dan mencipta ancaman di atas padang,” katanya. – AFP










